Moratorium kepada peminjam PTPTN sehingga Disember – Menteri KPT

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga Disember.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata penangguhan ini akan melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam PTPTN untuk tempoh 3 bulan lagi mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember.

“Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.125 billion,” katanya ketika menggulung sesi titah Agong di Dewan Rakyat.



Penangguhan bayaran balik PTPTN sebelum ini diberikan kepada peminjam mulai 19 Mac hingga 30 September.

Dalam pada itu, Noraini berkata semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

Katanya, sekiranya, terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian.

“Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.



“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Noraini juga berkata atas keperihatinan kerajaan bagi membantu meringankan bebanan bayaran balik peminjam, beberapa inisiatif diperkenalkan dan antaranya membantu peminjam mendapatkan peluang pekerjaan.

Katanya, langkah itu adalah melalui penganjuran “Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers” secara dalam talian dengan kerjasama Perkeso.

“Ini seterusnya berupaya membuat bayaran balik pinjaman mereka,” katanya.



Noraini berkata pihak PTPTN sentiasa terbuka untuk membuat rundingan bagi menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman sehingga umur 60 tahun dan menangguhkan bayaran balik pinjaman sehingga maksimum 24 bulan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker