Kekasih gelap : Pensyarah yang menuntut cerai dibunuh suaminya

Share

Kes jerut isteri: Curiga pasangan ada ‘kekasih gelap’ punca pensyarah minta cerai

Tindakan seorang pensyarah universiti awam yang meminta cerai daripada suaminya didapati berpunca daripada mangsa mengetahui suaminya itu mempunyai kekasih lain.

Bagaimanapun tindakan si isteri untuk meneruskan perceraian itu mengakibatkan suaminya tidak dapat menerima hakikat sehingga tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung.


Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, perkara itu diketahui hasil soal siasat lanjut terhadap suspek yang kini direman sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat lanjut, suspek mendakwa mereka masing-masing mempunyai kekasih gelap namun tidak dibincangkan sehinggalah mangsa meminta perceraian.

“Siasatan yang dijalankan ke atas suami mangsa mendapati hubungan kedua-duanya mempunyai masalah kerana lelaki itu melafazkan cerai pada pada 24 Jun lalu,” katanya kepada Astro Awani


Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek menjerut leher wanita itu kerana terlalu marah selepas bertengkar berkaitan perceraian yang mahu difailkan mangsa.

“Suspek mengaku membunuh isterinya kerana marahkan mangsa yang tetap mahu bercerai dengannya,” katanya lagi.

Pasangan tersebut sudah berkahwin pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 14 tahun.


Dalam kejadian Khamis lalu, polis menemui mayat wanita berusia 40 tahun itu berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang.

Suspek berusia 41 tahun itu, turut berpura-pura mencari isterinya bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi.

Suspek kemudian menukarkan tempat mangsa ke tempat pemandu sebelum mengambil dompet dan telefon simati serta meninggalkan isterinya dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

“Dia (suspek) kemudian keluar bersama anak menaiki kenderaan e-hailing konon ingin mencari wanita itu yang tidak pulang ke rumah dari jam 4 petang Rabu lalu,” katanya.- Awani

Leave a Reply