BSH fasa ketiga manfaatkan 4.28 juta penerima
PUTRAJAYA: Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa ketiga sudah mula disalurkan bermula 24 Julai lalu membabitkan peruntukan hampir RM3 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan tunai dari kerajaan itu dapat dimanfaatkan kira-kira 4.28 juta penerima BSH merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 530,000 bujang berusia 40 hingga 59 tahun.
“Sehingga 31 Julai 2020, (bagi) BSH fasa ketiga, seramai 4.13 juta penerima telah berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank membabitkan bayaran RM 2.7 bilion. Penerima BSH yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi Laporan LAKSANA Ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi Facebook, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bagi mereka yang ingin membuat rayuan, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos hingga 6 September 2020 secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.
“Pemohon juga boleh hadir di mana-mana cawangan Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Sila sertakan dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDN,” katanya.
Bagi komuniti yang tinggal di pedalaman, beliau menjelaskan, proses pengagihan bantuan memerlukan usaha yang lebih tinggi dari kebiasaan oleh pihak berkepentingan yang terbabit.
“Ini termasuklah menaiki bot ke pulau, perjalanan berjam-jam merentas hutan dan sebagainya oleh rakan-rakan kerja Kementerian Kewangan (MoF), BSN serta Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Sarawak yang terbabit.
“Alhamdulillah, proses agihan BSH dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara tunai untuk lebih 50,000 penerima pedalaman Sabah dan Sarawak membabitkan 30 lokasi di Sarawak dan sembilan lokasi di Sabah telah selesai pada 31 Julai lalu,” katanya.
Tengku Zafrul turut berkongsi berita baik untuk pemandu bas sekolah apabila kerajaan akan menyalurkan bantuan membabitkan kira-kira 30,000 pemandu.
“Bantuan ini dijangka akan dibuat pada 14 Ogos ini,” katanya.
Berita Harian
Yer la umur 20./.30 -39 .ada juga susah .ada hidup.sebatang Kara . Ada juga tiada ssm baru merancang nak niaga cth sya sndiri la merasa pun bantuan dri baitulmal.sekali.tu je la.. Tak pe la .. bujangkan .. org mcm kami mna layak mengundi .. urmm ye la ..Tak pe Bantu la org kaya alhamdulillah .inshallah