Muafakat Nasional boleh menang PRU15 jika satu lawan satu · MYKMU.NET

Muafakat Nasional boleh menang PRU15 jika satu lawan satu

Share

SHAH ALAM – Muafakat Nasional (MN) yang disertai UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan syarat tiada pertembungan tiga penjuru sesama sendiri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, MN boleh melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dan tidak mustahil dua pertiga iaitu 148 kerusi jika bertanding satu lawan satu berdepan Pakatan Harapan serta mengelakkan sabotaj dalam kalangan tiga parti Melayu tersebut.

“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagilah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan.

“Kalau Pas dapat (peruntukan) kerusi (Parlimen dan DUN) lebih besar daripada UMNO atau UMNO dapat lebih dari Pas, masing-masing jangan khianat.

“Kalau Pas dapat (menang) kerusi lebih besar pun, Pas tidak boleh tinggalkan UMNO dan begitu juga sebaliknya. (Parti) Bersatu pun tak boleh ditinggalkan. Yang penting, kita setia kepada perjanjian, iaitu piagam Muafakat Nasional,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, konflik pengagihan kerusi antara tiga parti dalam MN kelak tidak akan timbul jika soal strategi diatur oleh pemimpin, bukannya ahli-ahli biasa parti.

“Kita kena sedar bahawa UMNO mempunyai sokongan akar umbi. Bersatu pula tiada akar umbi tetapi mempunyai pemimpin yang ada pengaruh. Pas? Akar umbi pun ada, pemimpin pun ada.

“Kita gabungkan pemimpin dahulu dengan memperkasakan perpaduan, menentukan hala tuju, buat garis panduan dan ‘road map’, lepas itu turun ke bawah. Pokoknya kita tidak boleh dengar desas-desus (isu pengagihan kerusi),” katanya.

Ditanya bolehkah piagam MN yang bakal ditandatangani oleh UMNO, Pas dan Bersatu termasuk beberapa parti lain yang bakal menyusul, dipercayai serta tidak dilanggar, Abdul Hadi berkata, MN bergantung atas piagam, bukan atas faktor siapa akan jadi Perdana Menteri.

“Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, itu soal sampingan,” katanya.

MN adalah kerjasama politik UMNO dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

Kerajaan PN pula terbentuk pada Mac lalu setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan turut disokong oleh MN.

Gabungan parti dalam PN terdiri daripada Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan ahli Parlimen keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu menegaskan, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan MN bersama Pas dan komponen BN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN pada Rabu lalu menyatakan hasrat untuk membawa parti berkenaan menyertai MN.

Leave a Reply