Kuching bukan lagi zon merah Covid-19 susulan pengurangan kes aktif

Kuching, Sarawak bukan lagi zon merah Covid-19 berikutan pengurangan kes aktif ke bawah 40 hari ini.

Infografik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 39 kes dicatatkan di daerah itu hari ini, berbanding 43 kes semalam.

Sesebuah daerah dikategorikan sebagai zon merah apabila terdapat lebih 40 kes aktif Covid-19.

Sarawak bagaimanapun kekal negeri dengan kes Covid-19 paling banyak di Malaysia, diikuti Johor (31) dan Kedah (19).

Negeri zon hijau tanpa kes aktif wabak itu ialah Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.

Setakat hari ini, 8,999 kes Covid-19 direkodkan di negara ini dengan 125 kematian. Sejumlah 8,664 pesakit disahkan sembuh, sementara 210 masih dirawat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini berkata, individu boleh keluar dari Sarawak untuk ke Semenanjung, Sabah dan Labuan tanpa kebenaran polis.

Ia berkata, perintah kawalan pergerakan hanya melibatkan perjalanan dari Zon 1 (kuning atau merah) ke Zon 2 (hijau) dan sebaliknya.

“Kawalan pergerakan di negeri Sarawak dibahagikan kepada 2 zon, iaitu Zon 1 meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, manakala Zon 2 meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.

JPBN berkata, mana-mana pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan sebaliknya, hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada balai polis yang berdekatan sebelum memulakan pergerakan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker