Yang aneh-aneh di Sabah

Share

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal minggu lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun agak mengecewakan.

Tidak mengejutkan kerana sejak pertukaran kerajaan Persekutuan dan pengguguran kes Tan Sri Musa Aman, kebanyakan pemerhati politik melihat kedudukan Mohd Shafie seperti telur di hujung tanduk.

Cakap-cakap bahawa kerajaan negeri telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah semakin kuat sejak beberapa minggu lalu.

Para ADUN yang meninggalkan Musa pada Mei 2018 khabarnya kembali menyatakan sokongan kepada beliau. Terdapat juga ADUN yang kecewa dengan kegagalan Mohd Shafie menguruskan kebajikan rakyat ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

Musa ialah Ketua Menteri yang sah melalui mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ‘dijatuhkan’ Mohd Shafie.

Pada PRU14, parti Mohd Shafie iaitu Warisan hanya memperoleh 21 daripada 60 kerusi DUN Sabah, sebaliknya Barisan Nasional (BN) menjadi parti terbesar dengan menang sebanyak 29 kerusi. Pemenang lain kerusi DUN ialah DAP (6), PKR (2) dan STAR (2).

STAR mengambil keputusan menyokong BN, seterusnya membolehkan Musa mempunyai sokongan majoriti 31 kerusi. Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hanya permainan politik Mohd Shafie dan kerajaan Persekutuan kemudiannya menjatuhkan Musa apabila enam ADUN BN menyertai Warisan atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui.

Mohd Shafie juga kemudiannya menggunakan kuasa Ketua Menteri mengikut Perlembagaan Negeri untuk melantik lima orang ADUN tambahan bagi mengukuhkan kedudukannya.

Justeru, kerajaan Mohd Shafie bukanlah suara sebenar rakyat Sabah melalui peti undi seperti yang cuba digambarkan. Jadi, sangat aneh apabila Mohd Shafie mendakwa pembubaran itu bagi membolehkan rakyat Sabah, bukannya pihak lain yang menentukan kerajaan Sabah.

Ia sangat aneh dan melucukan. Mohd Shafie sendiri tidak pernah menghormati keputusan PRU14 dan tidak pernah mendapat mandat secara langsung untuk menjadi Ketua Menteri.

Apa yang terjadi kepada beliau hari ini adalah seperti kata pepatah Inggeris ‘a taste of his own medicine’. Beliau naik dengan cara memujuk ADUN BN menyokongnya dan jatuh juga kerana kehilangan sokongan ADUN.

Apa yang mengecewakan kita ialah keengganan Tun Juhar menerima menghadap kumpulan Musa sebelum keputusan pembubaran DUN dibuat. Tun Juhar seharusnya mendengar pandangan pihak lain sebelum memperkenan cadangan pembubaran DUN.

Adalah sangat aneh apabila Tun Juhar menerima Mohd Shafie menjatuhkan Musa tetapi hari ini menolak usaha mengembalikan keadilan politik berdasarkan keputusan PRU14.

Keanehan turut melanda Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Mohd Shafie bagi mengangkat politik berprinsip dan menolak politik lompat parti.

Apakah mereka lupa Mohd Shafie naik sebagai Ketua Menteri Sabah melalui politik lompat parti? Bukankah mereka yang menyambut gembira kejayaan Mohd Shafie merampas kuasa pada Mei 2018 dan mengangkat beliau sebagai wira PH?

Tampak sangat dalam kemelut politik Sabah ini banyak yang ‘kokok berdegar-degar, namun ekor penuh tahi’.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!