PKR Selar Warisan, tiada parti dianggap dominan

Share

PETALING JAYA: Pembahagian kerusi perlu dibuat secara saksama antara gabungan pembangkang membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan parti di Sabah, termasuk Warisan, bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, mana-mana parti tidak boleh menganggap diri mereka dominan di Sabah kerana ia memberi kesan kepada gabungan itu untuk terus kekal menerajui pentadbiran negeri.

“Agihan kerusi sesama komponen pembangkang perlu dibuat secara saksama dengan mengutamakan semangat setiakawan.

“Sewajarnya tiada parti yang boleh dianggap dominan untuk menguasai lebih banyak kerusi,” katanya  merujuk Warisan yang disebut-sebut sebagai parti dominan di Sabah berbanding parti lain.

Syukri turut mengakui PKR berdepan laluan sukar memulakan proses perbincangan adil, jika ada parti yang menganggap diri lebih dominan dan perlu diberikan lebih banyak kerusi.

“Jika ada parti yang akan mendapat lebih banyak kerusi, ia mesti diputuskan atas semangat setiakawan dan secara praktikal bagi menjamin kemenangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syukri berkata, Pemuda PKR menyambut baik keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai langkah terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

“Pemuda PKR akan mempersiapkan calon muda untuk diketengahkan dalam PRN ini.

“Paling penting, Pemuda PKR akan mengetengahkan calon berkualiti dan berprinsip bagi mengelakkan berulangnya pengkhianatan mandat rakyat,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Menteri, Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Situasi politik di Sabah yang sedia panas memuncak apabila bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PKR memenangi 2 daripada 8 kerusi DUN yang ditandinginya di Sabah, iaitu Inanam dan Api-api.

Sebanyak 73 kerusi DUN bakal dipertandingkan dalam PRN Sabah kali ini berbanding 60 kerusi pada PRU14.

 

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!