ADUN DAP didesak tarik balik permohonan cabar tulisan jawi

KUANTAN – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Pahang menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui menarik balik permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di semua premis perniagaan di negeri ini.

Pengerusinya, Roslan Md Desa berkata, pihaknya turut mendesak ADUN dari DAP itu membuat permohonan maaf di atas tindakannya mencabar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Mustafa Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan jawi diperkasakan di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertahankan dan memperjuangkan tulisan jawi sekali gus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Majlis Daerah Raub yang telah dinamakan sebagai responden dalam saman dikemukakan itu.

“Ummah Pahang tidak akan teragak-agak untuk mencelah kes ini di mahkamah dan telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Justeru, kami mendesak ADUN Tras menarik semula permohonan yang telah dibuat di mahkamah serta memohon maaf kerana telah mencabar titah Seri Paduka,” katanya.

Roslan berkata, DAP sepatutnya mengekalkan kerukunan negara bangsa dan hidup saling hormat menghormati.

“Dakwaan Yu Hui kononnya mereka perlu diberikan hak memilih untuk tidak menggunakan jawi, adalah tidak berasas,” katanya.

Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.

Kerajaan negeri memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan jawi itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan di negeri ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker