Kos PRN Sabah dijangka berganda, kata Takiyuddin

Pilihan raya negeri (PRN) Sabah dijangka akan menelan kos lebih besar berikutan pandemik COVID-19 dan langkah yang perlu diambil bagi mencegahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan akan bertambah berikutan proses PRN diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pilihan raya ketika Covid-19 ini, semestinya babitkan peruntukan lebih tinggi. Salah satu contoh dakwat celup tidak boleh digunakan seperti biasa dan perlu disediakan dengan jumlah banyak.

“Pada masa sama, proses sanitasi, menyediakan tempat penjarakan dan semestinya proses mengambil masa lama, sekali gus membabitkan elaun tambahan.

“Jika dulu pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), membabitkan kos RM500 juta, sekiranya PRU dilakukan sekarang, ia akan menelan kos lebih RM1 bilion. Itu gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, di sini, hari ini, yang turut dihadiri AdunTanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PRN di Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN dimaklumkan kepada SPR.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan kaedah pelaksanaan pilihan raya di Sabah dapat diadakan mengikut SOP.

Katanya, walaupun SPR ada sedikit pengalaman dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini bulan lalu, namun ia tidak boleh disamakan dengan PRN Sabah dan SOP perlu dilaksanakan dengan betul di semua DUN di negeri bagi mengelakkan wujudnya kluster baru COVID-19.

Semalam, SPR memaklumkan sudah menerima makluman rasmi berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN, Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker