Cinta ke tali gantung

Share

SEPASANG kekasih ditahan polis dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sebuah rumah di Taman Kelasi, Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.

Lelaki berusia 34 tahun dan teman wanitanya berumur 29 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar jam 2.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, rumah itu dipercayai disewa suspek dan ketika serbuan dilakukan pasangan itu sedang berehat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui beberapa paket syabu dianggarkan seberat hampir satu kilogram (kg).

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methapetamine.

“Turut ditemui 18 paket plastik dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat hampir satu kg dan sembilan keping bungkusan timah mengandungi 10 biji pil Eramin 5,” katanya hari ini.

Mohd Redzuan berkata, suspek lelaki berstatus duda berasal dari Sarawak itu tidak bekerja dan mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah dan lima kes jenayah.

“Wanita itu pula mempunyai tiga rekod lampau kesalahan dadah.

“Turut dirampas, dua motosikal dan wang tunai berjumlah RM2,225 untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. HM

Leave a Reply