73 kerusi – Bersatu mahu 45, Umno mahu 32, Bung kata mesyuarat esok

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata bahawa partinya akan bermesyuarat esok untuk akan membuat keputusan berhubung kerjasama antara Umno dengan Bersatu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, Umno Sabah akan mengadakan mesyuarat parti esok untuk berbincang pembahagian kerusi dengan sekutunya dalam BN iaitu PBRS dan MCA.

Katanya, mesyuarat tersebut turut akan mempertimbangkan kerjasama antara Umno-Bersatu yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN) sebuah gabungan yang tidak rasmi.



“Umno Sabah akan memutuskan dalam mesyuarat parti esok berhubung kerjasama dengan Bersatu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu Bung Moktar diminta mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor (gambar, bawah) yang menyatakan bahawa parti itu akan bertanding dalam 45 kerusi daripada jumlah 73 kerusi DUN yang dipertandingankan dalam PRN akan datang.

Hajiji yang juga Adun Sulaman berkata bahawa Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN Sabah.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenalpasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon-calon Bersatu.



“Kita akan mengemukakan calon-calon berwibawa, mempunyai kredibiliti, kemampuan dan “winnable” bagi memenangi kerusi yang akan ditandingi”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti-parti dalam komponen PN, Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Umno pertahan 32 kerusi DUN Sabah – Laporan

Hajiji merupakan antara lapan pemimpin Umno yang menang pada PRU14 atas tiket Umno sebelum bertindak menyertai Bersatu dan menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah ketua menteri, Shafie Apdal.



Apabila tercetus krisis politik tanah air pada Februari, Bersatu mula bekerjsama dengan Umno dalam gabungan PN.

Ditanya kemudian, Bung Moktar berkata bahawa beliau menyambut baik kenyataan Hajiji yang sedia berbincang dengan Umno dan parti-parti lain dalam pembahagian kerusi DUN.

“Dia (Hajiji) kata akan ada perbincangan (Umno-Bersatu),” katanya.

Ini selepas laporan awal portal China Press yang memetik Bung Moktar sebagai berkata bahawa Umno akan mempertahankan 32 kerusi DUN yang secara tradisinya ditandingi parti itu.



Untuk rekod, kerjasama Umno-Bersatu didakwa ‘renggang’ susulan keputusan Umno menolak usaha pendaftaran PN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.



Zahid juga memberitahu bahawa partinya akan mempertimbangkan hasrat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyatakan sedia menyertai Muafakat Nasional (MN) iaitu sebuah piagam politik antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Redzuan Md Yusof menyangkal kenyataan Zahid itu bahawa Bersatu ada membuat permohonan untuk menyertai MN.

Redzuan berkata, sebaliknya Bersatu yang menerima jemputan untuk menyertai gabungan tersebut.

“Muhyiddin tidak pernah memohon menyertai MN, cuma di jemput oleh MN.



“Kenyataan Zahid tidak tepat,” katanya.

Kemudian, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa tampil menjelaskan MN telah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai gabungan itu.

Katanya presiden Umno dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu telah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.

[VIDEO] “Saya Ulang Banyak Kali” Video TikTok Elizabeth Tan Bikin Ramai Lelaki Tak Keruan Menyakat Lizzy

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker