Umno akan beri tawaran baru buat pengundi pada PRN, kata Bung Moktar

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, parti itu akan membuat beberapa tawaran baru kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tanpa memberikan butiran tawaran itu, katanya, ia bakal meningkatkan lagi taraf hidup rakyat serta pembangunan di Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri ialah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu dan beliau yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan betul pada PRN nanti.

“Kini kita serahkan pula kepada rakyat negeri ini untuk memilih kerajaan yang mereka benar-benar yakin untuk mentadbir Sabah.



“Umno dan BN Sabah Plus amat yakin rakyat sabah tidak akan tersalah pilih kerajaan negeri buat kali ke-2. Dulu sudah salah ubah, kini kita bersama-sama ubah balik pula,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Warta kerajaan negeri yang ditandatangani Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin semalam menyatakan pembubaran DUN berkuat kuasa semalam mengikut Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, bekas ketua menteri, Musa Aman dalam sidang media semalam mendakwa pembubaran DUN tidak wajar dan beliau sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Sementara itu, Bung sekali lagi menegaskan Umno Sabah tidak terbabit dalam usaha Musa mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Warisan.



“Seperti kita sedia maklum, ura-ura mempunyai cukup majoriti bagi mengambil alih kerajaan negeri adalah pakatan di kalangan pelbagai parti di Sabah.

“Umno Sabah secara jelas tidak terlibat dalam sebarang perkara yang berlaku seperti yang diumumkan sebelum ini.”. FMT

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker