PAN dakwa Selangor, Negeri Sembilan sasaran seterusnya lepas kudeta Sabah gagal

Negeri Sembilan dan Selangor berkemungkinan besar menjadi sasaran seterusnya setelah cubaan kudeta Sabah gagal, kata Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir.

“Setelah cubaan kudeta Sabah gagal, pastinya para pengkhianat takkan duduk senang.

“Negeri Sembilan dan Selangor berkemungkinan besar menjadi destinasi seterusnya untuk mengesampingkan mandat 2018 dan memasuki gedung kekuasaan melalui pintu belakang.

“Jika difikirkan secara logik, menjadi perdana menteri dan menteri dengan segala beban kerja yang berat tatkala negara berdepan kelelahan pastinya takkan memungkinkan untuk segalanya ini disusun.

“Namun malangnya, mereka sempat dan punya banyak masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazni berkata sempena Aidiladha barakah yang disambut hari ini, para ‘pengkhianat’ diajak untuk merenung bersama tentang sejauh mana kecintaan kepada Tuhan mampu dizahirkan dengan kerja-kerja baik yang memberikan manfaat kepada rakyat?

“Atau adakah kita masih berfikir bahawa amanah kepimpinan ini takkan menjadi persoalan besar di Mahsyar esok?

“Dan paling utama, apakah amanah ini – walau direnggut dengan cara tidak bermoral – bakal menjadi pepohon di taman syurga atau bahan bakaran api neraka?” soalnya.

Shazni berkata, apa yang diingini rakyat sebenarnya adalah kehidupan yang baik dan sejahtera, serta ekonomi berjalan dengan baik.

Rakyat, juga katanya, mahu kembali memperoleh peluang pekerjaan dan perniagaan bagi membolehkan mereka ‘survive’ dalam meniti hari-hari sukar ke depan.

Namun, menurutnya jika fokus kepimpinan negara yang ketika ini hanya terhala dengan segala perancangan rakus untuk merampas negeri-negeri yang tidak sehaluan, apakah rakyat akan tercapai apa yang diingini?

“Nah, mahu dicampakkan ke mana sekalian banyak pengorbanan rakyat selama ini?” katanya.

Shazni berkata pihak yang mahu merampas kuasa ketika ini pasti tidak terdetik di hatinya bahawa masa dan ketikanya rakyat susah dan tidak harus dibebani lagi dengan situasi-situasi kacau yang langsung tidak membantu.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata Yang Di-Pertua Negeri sudah memberi perkenan untuk pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Beliau turut berkata bahawa akan menjadi ketua menteri sementara sehingga pilihan raya diadakan.

Ini selepas bekas ketua menteri Sabah Musa Aman sebelum ini berkata bahawa memiliki sokongan majoriti Adun untuk membentuk kerajaan negeri.

Shafie berkata sudah sampai masanya untuk menyerahkan pilihan menentukan kerajaan Sabah kepada penduduk negeri itu.
Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker