Mitos nasi punca gemuk

Beras menjadi makanan rutin bagi penduduk Asia Tenggara sejak tanaman padi mula diusahakan dengan penuh giat oleh petani di Thailand kira-kira 4,000 tahun sebelum Masihi.

Sememangnya nasi merupakan satu kemestian bagi majoriti rakyat negara ini yang dipadankan dengan pelbagai
jenis lauk-pauk yang lazat.

Namun, ada segelintir pihak yang mendakwa pengambilan makanan ruji itu secara rutin boleh menyebabkan kegemukan dan kenaikan berat badan.

Natijahnya, seseorang akan berasa kurang keyakinan diri, suka menyendiri, lemah serta kurang bersosial.



Namun adakah mitos beras yang mengandungi kandungan magnesium, fosforus, mangan, selenium, zat besi, tiamin dan
niasin yang tinggi dan baik sebenarnya menyebabkan badan anda berubah menjadi ‘bulat’ dan ‘segar’.

Pakar pemakanan Hospital Pakar KPJ Perlis, Noorhayati Mohamad Yusof berkata, nasi dikategorikan sebagai salah satu kumpulan karbohidrat bersifat kompleks yang menyumbang kepada 50 hingga 60 peratus tenaga harian.

“Sebenarnya harus difahami konsep taburan nutrisi makanan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian
yang tidak benar.

“Ini kerana, selain nasi antara makanan lain yang tergolong dalam kategori karbohidrat kompleks seperti tepung, mi bihun, roti, bijirin, biskut, pasta, kekacang, buah dan tenusu.



“Jangan sesekali tertipu dengan dakyah yang mengatakan salah satu cara untuk menurunkan berat badan ialah dengan meminggirkan karbohidrat terutamanya nasi dalam diet harian.

“Ini tidak tepat kerana sumber karbohidrat apabila diproses di dalam badan akan ditukar kepada glukosa dan
dijadikan sumber tenaga pertama yang digunakan badan seseorang berbanding tenaga yang datang daripada protein
dan lemak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berdasarkan kajian Malaysian Adult Nutrition Survey, MANS 2014 didapati bahawa sebilangan besar (94%) rakyat
dewasa Malaysia tidak mengambil buah atau sayur yang mencukupi (kurang dari lima sajian sehari) seperti yang
disarankan oleh Panduan Diet Malaysia 2010.

Penyelidikan NHMS pada 2015 menunjukkan bahawa 33.5 peratus rakyat negara ini tidak aktif secara fizikal.



Sehubungan dengan itu, Noorhayati berkata, aspek utama yang perlu diutamakan ialah dengan melibatkan semua kumpulan makanan merangkumi karbohidrat, protein, lemak dan serat namun diambil dalam kuantiti yang sederhana selain pemilihan jenis makanan serta cara masakan yang lebih sihat.

“Bagi mereka yang mengidamkan berat badan ideal, jangan sesekali meminggirkan nasi dan jenis karbohidrat yang
lain sebaiknya amalkan konsep pinggan sihat Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan bertemakan
“Suku Suku Separuh”.

“Ambil nutrisi berupa karbohidrat sebanyak satu perempat daripada saiz pinggan, satu perempat pinggan lain
sumber protein sementara baki satu perempat lagi ialah serat yang terdiri daripada sayur dan buah-buahan,”
katanya.

Saiz pinggan yang ideal ialah 10 inci (25 sentimeter). Karbohidrat mengurangkan masalah sembelit, meningkatkan
rasa kenyang yang membantu dalam pengurusan berat badan dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan
diabetes.



Protein merupakan nutrien yang penting bagi membina dan memulihkan tisu-tisu tubuh. Sayur-sayuran dan buah-
buahan pula dengan serat, vitamin dan mineral yang berfaedah untuk kesihatan.

Diet yang mengandungi serat yang tinggi boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskuar (berkaitan jantung).

Berlebihan berat badan dan obesiti juga merupakan risiko utama bagi kematian sejagat dan menjadi masalah utama kesihatan awam di seluruh dunia.- MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker