Covid-19 : 12 kes hari ini

Kes jangkitan baru Covid-19 kembali 2 angka hari ini, menurut laporan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 12 kes baru dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi, dengan 7 kes penularan dalam negara.

“Lima kes dalam kalangan warganegara Malaysia dan 2 kes dalam kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Perincian bagi kes melibatkan warganegara adalah 1 di Johor daripada saringan pra pembedahan, 2 di Kedah daripada kluster PUI Sivagangga, 1 di Selangor daripada saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan, dan 1 di Negeri Sembilan daripada saringan di lokap sebelum dipindahkan ke penjara.



Manakala bagi kes melibatkan bukan warganegara, 1 di Johor daripada saringan pra pembedahan, dan 1 di Sabah iaitu kes kematian yang dilaporkan hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia merupakan kes kematian ke-125, dan seorang lelaki warga Filipina berusia 64 tahun dengan latar belakang penyakit jantung. Dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada 29 Julai selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, di mana mangsa disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan mangsa positif Covid-19.

Bagi 5 kes import pula, yang mendapat jangkitan di luar negara, ia melibatkan 2 warganegara Malaysia dan 3 bukan warganegara yang dibenarkan masuk.

Perinciannya adalah 3 kes di Kuala Lumpur melibatkan seorang warga Indonesia, Qatar, dan United Kingdom; dan 1 kes di Johor dan Sarawak melibatkan warga Indonesia.



Sebanyak 8,976 kes jangkitan dilaporkan sehingga kini. Ketika ini seramai 207 kes aktif sedang dirawat.

Daripada jumlah kes aktif itu, 3 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan seorang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Hisham juga melaporkan 27 kes pulih hari ini. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker