Warisan mahu pilihanraya kilat di Sabah

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking menggesa pilihan raya negeri diadakan di Sabah selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Leiking turut menyerang Adun Warisan yang menyokong gabungan baru Musa dengan menyifatkannya “pengkhianatan besar”.

Ahli Parlimen Penampang dan bekas menteri persekutuan itu, terkejut dengan dakwaan Adun berpaling tadah daripada kerajaan negeri pimpinan Warisan, selepas menyuarakan sokongan kepada Ketua Menteri, Shafie Apdal.

“Ini ialah pengkhianatan besar kepada mandat yang diberikan rakyat Sabah sejak 2 tahun lalu.

“Mereka berulang kali menyuarakan kesetiaan dan menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong ketua menteri dan kerajaan negeri yang sah serta ia pelik untuk melihat mereka membuat pusingan U.

“Walaupun kami terkejut dengan apa yang dilaporkan berlaku, saya secara peribadi percaya pilihan raya negeri perlu diadakan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Musa petang tadi mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Beliau mendakwa mendapat sokongan mencukupi daripada Adun Warisan, PKR, PPBM dan Umno Sabah.

Katanya, beliau akan menemui gabenor tidak lama lagi untuk menyerahkan SD yang ditandatangani Adun menyokongnya.

Antara Adun yang menghadiri sidang media Musa hari ini ialah Kenny Chua daripada PKR (Inanam), Ronnie Loh daripada DAP (Adun dilantik), Osman Jamal daripada Warisan (Balung), Hamisa Samat (Tanjung Batu), Musbah Jamli (Tempasuk), Bolkiah Ismail (Pitas), Anita Baranting (Tandek) serta Abidin Madingkir daripada Upko (Paginatan).

ADVERTISING

Leiking berkata, kem Musa mungkin mengingatkan Warisan berhubung rampasan kuasa daripada Barisan Nasional melalui pembelotan Adun selepas pilihan raya umum lalu.

“Tetapi, ini berlainan kerana ini ialah kerajaan memerintah dan hanya selepas 2 tahun, orang-orang ini (Adun) dikatakan akan meninggalkan kerajaan.

“Mari kembali kepada rakyat untuk lihat jika mereka setuju dengan apa yang mereka lakukan atau sebaliknya.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker