Politik Sabah tidak gugat sokongan terhadap PH: Anwar

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) yakin konflik politik yang berlaku di Sabah tidak akan memberi impak kepada kejatuhan mereka.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin rakyat begitu memahami sepak terajang politik dalam kalangan ahli parlimen mahupun pemimpin, namun perubahan angin kesetiaan segelintir mereka tidak semestinya mewakili aspirasi rakyat.

Menurutnya, dalam situasi sekarang tiada sebab untuk mereka membuat perubahan dengan mengkhianati parti dan seharusnya mereka yang diberikan mandat oleh rakyat memfokuskan untuk memperkukuhkan hubungan parti.

“Tidak ada sebab apa perubahan begini dan sudah pasti rakyat faham namun sekarang bermacam-macam pengkhianatan dan sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kadang-kadang orang salah faham telahan percaturan politik golongan kelompok atasan itu mewakili aspirasi rakyat, sedangkan ia tidak semestinya,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program Jelajah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Melaka di Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat yang dilantik sekiranya terbukti sahih mereka terbabit dalam menjatuhkan Kerajaan Warisan Sabah.

Pada masa sama, beliau tetap dengan pendirian dalam suasana pandemik Koronavirus (Covid-19) ia tidak sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) namun jentera parti dalam siap siaga.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker