Kes Najib: Usah terburu-buru, tidak perlu emosi, jangan seronok sangat

oleh Zulkiflee Bakar

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur semalam yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah terhadap tujuh pertuduhan dalam kes SRC International mendapat pelbagai reaksi dan terlahirnya macam-macam emosi. Ada yang gembira dan ada yang sedih, paling seronok tengok ada cuba yang menangguk di air keruh.

Tidak mengapalah itu hak masing-masing, apa yang pasti keputusan sama ada kita suka atau tidak, keputusan mahkamah perlu dihormati, lagipun ruang masih terbuka untuk bekas Perdana Menteri itu membuat rayuan bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

Apabila menyentuh soal emosi, berikut adalah pandangan penulis berdasarkan pemerhatian selepas hukuman dijatuhkan ke atas Najib:

Pemimpin UMNO usahlah terburu-buru

Pemimpin UMNO perlu bertenang dan menghormati keputusan mahkamah. Tidak perlu membuat kenyataan yang dilihat tidak menghormati kedaulatan undang-undang. Sebaliknya mereka perlu terus bersatu dan memperkukuhkan parti.

Sebab itulah penulis tidak bersetuju apabila ada pemimpin yang membuat kenyataan bercakap soal dendam kesumat dan sebagainya kerana ia boleh menimbulkan tafsiran negatif kepada parti itu.

Begitu juga bila ada pemimpin berkata, sekarang masa bagi UMNO untuk bergerak ke hadapan, melakukan proses perubahan parti dan berharap UMNO tidak akan diseret dalam kes Najib.

Pemimpin yang membuat kenyataan ini perlu faham sejak awal lagi kes ini, Najib tidak pernah mahu menyeret UMNO bersama, sebab itulah Pergerakan Pemuda UMNO memuji sikap Najib itu. Jadi jangan bertindak bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ atau seolah-olah kita hebat apabila mahu proses perubahan parti dijalankan.

Perlu diingat proses perubahan parti bukan perlu dilakukan bersandarkan kes Najib sahaja, banyak lagi kelemahan dalam parti tersebut yang perlu diperbaiki. Antaranya termasuklah perlu agresif ‘menyerang’ pembangkang secara berfakta, bukannya hanya pandai mengkritik parti dan menyindir pemimpin sendiri sahaja.

Sebab itulah apabila berhadapan dengan situasi ini, semua pihak dalam UMNO jangan kelam kabut seperti mana kata bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ‘”Nasihat saya kepada semua, kekal bertenang dan jangan buat pendirian terburu-buru apatah lagi berlandaskan emosi.’’

Bertenang adalah sikap terbaik kerana ia mampu menjaga keharmonian dan perpaduan dalam parti. Mereka yang berada dalam UMNO perlu ingat ‘musuh’ politik mereka bukan sahaja mahu memusnahkan parti itu dari luar tetapi juga dari dalam.

Oleh itu berhati-hatilah dalam bertindak supaya jangan sampai ada pemimpin UMNO yang terperangkap sehingga dilihat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti.

Sama ada mereka mahu mengakui atau tidak, Najib mempunyai kekuatan dan penyokong sendiri. Melihat reaksi dalam laman sosial selepas hukuman dijatuhkan, ternyata keputusan mahkamah itu tidak mampu menggugat sokongan terhadap Najib.

Inilah yang harus diambil kira oleh sesetengah pemimpin UMNO yang awal-awal dilihat mahu ‘meminggirkan’ bekas Perdana Menteri itu.

Pembangkang jangan seronok sangat

Sudah pasti kelompok paling gembira ialah pembangkang. Berikutan itu ada pemimpin yang sebelum ini ibarat ‘berada dalam gua’ selepas cukup terkenal dengan propagandanya ketika pilihan raya umum tiba-tiba berkata ‘perjuangan yang berbaloi’. Aduh hebat sekali dia.

Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) pula menyifatkan keputusan itu adalah satu kemenangan buat rakyat dan orang ramai tidak akan dapat melihat Najib Razak dibicarakan melalui proses undang-undang jika rakyat tidak bangkit memberikan kemenangan kepada gabungan itu pada 2018.

Kalau begitu mungkin atas semangat yang sama, PH boleh meminta peguam negara membuka semula kes-kes melibatkan pemimpin-pemimpin pakatan itu yang menjadi ‘buah mulut’ rakyat apabila ia ditutup atau digugurkan.

Dan kita juga berharap selepas ini kalau ada pemimpin PH didakwa di mahkamah, janganlah pula tuduh ia konspirasi politik dan sebagainya.

Seperkara lagi, PH jangan seronok sangat dengan beranggapan kes Najib ini akan memberi keuntungan politik kepada mereka. Kalau tidak percaya, tunggulah apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Cukuplah bertahun-tahun Najib dijadikan modal untuk mereka meraih sokongan rakyat, sampai ada pemimpin mereka siang malam asyik ingat, ‘Najib, Najib, Najib’ sahaja.

Tempoh 22 bulan, PH memerintah sudah cukup memberikan pemahaman kepada rakyat terhadap kemampuan pakatan itu menjadi kerajaan.

Bukti Perikatan Nasional hormati kedaulatan Undang-undang
Keputusan Mahkamah Tinggi ke atas Najib membuktikan kerajaan sentiasa menegakkan prinsip dan kedaulatan undang-undang.

Penulis percaya kalau keputusan mahkamah menyebelahi Najib sudah pasti ada pihak yang akan menuduh kerajaan campur tangan. Tetapi seperti mana kata Muhyiddin dalam kenyataannya, kerajaan menghormati keputusan mahkamah.

Beliau juga menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi bebas dan berkecuali.

Begitu juga Pas yang melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-undang yang didokong oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Dan Abdul Hadi menegaskan, parti itu yakin Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

KESIMPULANNYA, dalam menghadapi keputusan mahkamah ke atas Najib, tidak perlu ada pihak yang beremosi, terburu-buru dalam tindakan dan berasa seronok sangat.

Sementara Najib akan berjuang habis-habisan melalui proses undang-undang bagi membersihkan nama beliau, pihak lain berhati-hati dalam memperkatakan kes ini.

Apa yang lebih penting sebagai umat Islam, jangan sesekali kita berasa gembira dengan musibah yang menimpa orang yang kita tidak suka atau musuh kita kerana kita sendiri pun tidak tahu apa pengakhiran kehidupan kita. Edisi9

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker