Finalis Imam Muda ceraikan isteri selepas nikah wanita lain

IMAM Muda Syed Mohd Faris Syed Roslan, 34, menceraikan isteri pertamanya, Nur Hidayu Rosly, 33, selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Syed Faris yang juga finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 itu menceraikan Nur Hidayu dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Nur Hidayu ketika ditemui turut mendakwa dikasari isteri baru suaminya itu selepas suaminya bercadang untuk menceraikan salah seorang daripada mereka.

Menceritakan kejadian itu, Nur Hidayu berkata, ketika itu dia baru habis menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak kelima mereka.

“Kejadian berlaku di tempat kerja saya kira-kira jam 12 tengah malam. Wanita itu berang apabila suami memaklumkan dia mungkin akan menceraikan salah seorang daripada kami.

“Pada mulanya semua berlaku dalam keadaan baik. Namun, apabila suami bercakap mahu menceraikan salah seorang daripada kami, dia mula mengasari saya selain mendakwa suami saya tidak memberinya nafkah dan sudah dua hari tidak pulang ke rumah,” katanya.

Nur Hidayu berkata, wanita itu menendang, memijak kaki serta memulas tangannya.

“Saya tak tahu apa motif dia. Paling menyedihkan, suami langsung tak mempertahankan saya,” katanya.

Menurut Nur Hidayu, dia memang mengenali wanita itu ketika sama-sama menyertai misi dakwah di Sibu, Sarawak pada November 2018 yang turut disertai suaminya.

“Kami berada di sana selama seminggu. Ketika itulah saya berkenalan dengan wanita itu. Dalam penerbangan balik, saya pelik kerana dia menaiki penerbangan sama dengan suami, tetapi saya tidak. Dari situ, saya mula rasa ada yang tak kena,” katanya.

Nur Hidayu berkata, suaminya hanya memaklumkan dia sudah berkahwin dengan wanita itu pada hujung Januari lalu ketika dia baru melahirkan anak kelima mereka.

Sebelum itu dia juga mengesan perubahan mendadak suaminya apabila kerap pulang lewat termasuk tidak pulang ke rumah langsung.

Suaminya juga tidak lagi memberi wang nafkah dan jika diberikan hanya mengikut sesuka hatinya.

Nur Hidayu berkata, sebelum ini suaminya pernah bercerita hasratnya untuk berkahwin lagi tetapi dia meminta supaya berfikir mengenai anak-anak.

Bagaimanapun, dia tetap mahu meneruskan hasratnya itu termasuk mendakwa wanita itu boleh melayannya lebih hebat daripada Nur Hidayu.

“Malah, sebelum dengan wanita ini dia pernah berkenalan dengan lima wanita lain dan mengajak mereka berkahwin. Namun, tidak berjaya kerana mereka semua tidak mahu berpoligami.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan daripada Syed Faris tidak berjaya apabila dia mengelak untuk menjawab pertanyaan diberikan.

“Maaf, saya ada kerja yang perlu diselesaikan dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima anak iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Malah, sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah empat kali mengalami keguguran. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker