Zahid gesa penyokong, ahli Umno bertenang

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pemimpin parti dan penyokong Najib Razak bertenang selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas semua pertuduhan berhubung RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Kita akur dengan keputusan mahkamah. Saya menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli parti serta penyokong bertenang,” katanya dalam catatan di Facebook sambil menambah beliau yakin Najib ialah individu yang cekal dan tabah.

Beliau berkata, Najib masih mempunyai ruang mendapatkan keadilan mengikut proses undang-undang.

Katanya, keputusan mahkamah hari ini akan dibincangkan dalam mesyuarat parti itu.

“Ini bukan penghujung dunia, proses masih berjalan, namun tentunya kita akan mengambil satu keputusan politik hasil keputusan hari ini.

“Tentunya ada sesuatu yang akan dilakukan Umno dan tunggu keputusannya yang akan kami bincangkan.

“(Saya) harap kita berlapang dada dan terbuka terima keputusan yang akan dibuat parti nanti.

“Tentunya apa yang akan kami lakukan adalah tindakan bersifat usaha bagi menentukan hala tulu kerajaan yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas 7 pertuduhan berhubung RM42 juta milik bekas anak syarikat unit 1MDB itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan berkata, pasukan pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

Beliau didakwa pada 2018 dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker