Najib komited bersih nama di Mahkamah Rayuan

Datuk Seri Najib Razak komited meneruskan usaha untuk membersihkan nama beliau daripada beberapa tuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib berkata, usaha itu termasuklah melalui proses di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Saya ingin teruskan usaha untuk membersihkan nama saya dan perjuangan ini akan tetap saya teruskan. Saya tentu tak puas hati dengan keputusan (Mahkamah Tinggi) tapi dengan sistem kita, Mahkamah Tinggi adalah mahkamah yang pertama.

“Keputusan ini dibuat oleh seorang hakim sahaja. Kita ada proses lain untuk membuat rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan di mana ada tiga hakim.

“Mudah-mudahan di peringkat Mahkamah Rayuan nanti kita dapat menghujahkan point-point yang boleh diguna,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur malam ini.

Ahli Parlimen Pekan itu melahirkan rasa dukacita apabila hujah-hujah yang boleh membawa keraguan kes yang dibawa peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak diterima oleh hakim.

“Namun demikian rayuan di Mahkamah Rayuan akan kita lakukan secepat mungkin. Saya berharap bahawa kes rayuan ini akan didengari dengan seberapa segera yang boleh,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga mengulangi sumpahnya buat kali kedua yang dilafazkan dalam Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak bersalah dalam kes yang melibatkan dana RM42 juta.

“Hakim telah mengizikan saya berkata sepatah dua pada penghujung perbicaraan.

“Saya telah mengulangi sumpah saya iaitu Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa saya tidak meminta mahupun saya ditawarkan ataupun dalam pengetahuan saya tentang duit RM42 juta yang dikatakan masuk ke dalam akaun saya.

“Jadi ini satu pengakuan yang telah saya lahirkan kerana saya nak menyatakan dengan setegasnya bahawa pendirian saya, pengakuan ini adalah pengakuan yang benar.

“Saya sanggup melafazkan sumpah ini bukan sekali tapi dua kali petang tadi supaya ianya dirakamkan sebagai satu pengakuan yang tegas, benar yang telah saya katakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Baca :‘Wallahi, Wabilahi, Wattallahi. Saya tak terlibat seleweng RM42 juta – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker