Tunggang basikal lajak: Ibu bapa berdepan denda RM1,000, penjara

Sebaran :

KUALA LUMPUR – Ibu bapa atau penjaga remaja bawah umur bakal dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara maksimum setahun sekiranya anak di bawah jagaan mereka disabit dengan kesalahan menunggang basikal lajak atau basikal yang diubahsuai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, hukuman lebih berat berbanding denda RM300 sebelum ini dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua pihak.

Menurutnya, pindaan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.



“Kalau dulu denda (dikenakan) RM300 sahaja, (jadi) orang tak takut. Jika pesalahnya di bawah usia 18 tahun maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum.

“Sekarang kita pinda dan perketatkan sebagai pengajaran kepada semua pihak termasuk penunggang basikal lajak yang juga merupakan pengguna kenderaan mikromobiliti bersama basikal elektrik,” katanya pada sesi taklimat media berkenaan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Parlimen hari ini.

Katanya, dengan pindaan yang mengenakan hukuman lebih berat itu akan memastikan ibu bapa bersikap lebih tegas dan memantau aktiviti yang dilakukan anak-anak mereka.


“Tujuan kita bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada ingin memberi pengajaran dan diharap perkara ini dipandang serius semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pindaan yang turut dilakukan ke atas basikal lajak itu antara lain membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan jalan raya selamat untuk semua pihak.

SH


Sebaran :

One thought on “Tunggang basikal lajak: Ibu bapa berdepan denda RM1,000, penjara

  • harap polis tidak terlajak lagi sikap sambil lewa mereka membuat siasatan sehingga membuat mahkamah terpaksa melepaskan lagi pemandu kereta yang terlajak lagi melanggar sehingga mati budak naik basikal lajak

    Reply

Leave a Reply