Resolusi melampau, Dong Zong dangkal masih tak faham aspirasi pendidikan

Share

BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam melaksanakan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, selain tidak tunduk kepada desakan melampau pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong.

Demikian tegas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan sebagai menyelar tujuh resolusi yang diluluskan dalam Mesyuarat Agong Dong Zong bagi tahun 2020, semalam.

Resolusi itu antaranya menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.


Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

Mengkritik semua tuntutan itu, Dr Awang berkata, tuntutan Dong Zong mensyaratkan pengajaran kaligrafi bahasa lain jika tulisan Jawi diajar di sekolah sangat tidak logik.


“Jawi ialah tulisan bahasa Melayu dan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara ini.

“Mensyaratkan pengajaran kaligrafi bahasa-bahasa lain di sekolah amat tidak logik kerana bahasa-bahasa lain bukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi,”

Beliau turut menjelaskan kekeliruan pihak berkenaan antara tulisan dengan khat atau kaligrafi dengan Jawi.


“Pengajaran tulisan Jawi berkaitan dengan satu sistem tulisan, sementara khat ialah satu cabang seni.

” Bagaimanapun cadangan pengenalan khat dalam bahasa apa pun tiada halangannya tetapi bukan sebagai unsur yang setara dengan Jawi,” katanya.

Datuk Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyifatkan pemahaman Dong Zong mengenai aspirasi pendidikan kebangsaan yang berteraskan keselarasan kurikulum latihan guru, bahan ajar, penaksiran dan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai dangkal.

“Dong Zong ternyata tidak berada dalam alam kenyataan bahawa negara ini ada dasar-dasar kenegaraan yang bertujuan untuk perpaduan dan membentuk jati diri warganegara yang tidak ditandai oleh pemisahan seperti sistem pendidikan.

“Dong Zong patut berfikir dalam kerangka Malaysia. Kelembutan kerajaan selama ini menyebabkan wujudnya sekolah jenis kebangsaaan yang menurut Laporan Rahman Talib patut berakhir dalam tempoh 10 tahun sesudah kemerdekaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan tuntutan menubuhkan jawatankuasa pemantau sebagai tuduhan berat, seolah-olah Kementerian Pendidikan (KPM) menyalahgunakan kuasa.

“KPM sebagai badan kerajaan tertakluk kepada pelbagai peraturan standard, baik di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam mahupun di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

“Yang sebenarnya patut dilakukan ialah pemantauan terhadap SRJK yang tidak selaras dengan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Mengulas mengenai tuntutan peruntukan, Dr Awang berkata, peruntukan dana pendidikan perlu diutamakan kepada sekolah aliran perdana iaitu sekolah kebangsaan.

“Kenyataan yang diketahui umum sejak beberapa lama, SRJK telah menerima bantuan yang lebih daripada sepatutnya, terutama kerana isu itu dijadikan senjata setiap kali pilihan raya umum berlangsung,” katanya.

Leave a Reply