Nik Abduh: Malaysia perlu kekal tolak LGBT

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) berkata meskipun negara lain semakin menerima ideologi golongan LGBT, Malaysia perlu kekal dengan pendirian menolak sebarang bentuk dan amalan tersebut masuk ke negara.

Menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad yang memberi “lesen penuh” kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap transgender, beliau berkata usaha tersebut bukan bertujuan menghukum golongan tersebut tetapi memulihkan mereka kembali ke pangkal jalan.

“Meskipun seluruh dunia tunduk dengan desakan ideologi LGBT dalam negara mereka saya ingin jelaskan bahawa Malaysia perlu kekal dengan pendirian menolak sebarang bentuk dan pengamalan LGBT masuk daripada masuk ke negara kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, ahli jawatankuasa PAS pusat mengkritik aktivis LGBT yang memandang serong usaha tersebut apabila mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai menceroboh ruang persendirian dan melanggar keselamatan peribadi golongan itu.

Pada 10 Julai, Zulkifli berkata “lesen penuh” itu akan diambil tidak hanya melibatkan tangkapan semata-mata, sebaliknya yang lebih utama kata beliau ialah “tarbiah”.

Langkah tersebut menurut anggota Dewan Negara itu diambil agar golongan terbabit dapat kembali ke pangkal jalan.

Menurut Nik Abduh lagi, golongan yang mempertahankan LGBT seolah-olah tidak pernah meneliti buku manual berkaitan Islam dan mak nyah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2013.

“Ia ialah satu manual asas yang menyeluruh yang menjelaskan usaha Jakim secara bersepadu yang bersifat membimbing, beri sokongan dan memulihkan LGBT.

“Justeru, sikap prejudis kelompok aktivis LGBT ini sewajarnya tidak perlu dilayan. Mereka sendiri bersikap prejudis terhadap langkah positif yang diambil oleh Jakim dan kerajaan.

“Inisiatif murni yang dijalankan oleh Jakim perlu diteruskan dan diteliti ruang penambahbaikan supaya golongan ini diselamatkan dan kembali fitrah yang asal,” katanya.

Kira-kira seminggu selepas pengumuman Zulkifli itu, Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa (ICJ) mengggesa menteri untuk membatalkan arahan itu dengan segera.

ICJ turut meminta kerajaan mengambil langkah-langkah bagi memastikan perlindungan yang sama dan tiada diskriminasi terhadap semua orang di Malaysia, termasuk golongan LGBT.

[VIDEO] Eyka Farhana Kongsi Foto ‘Belanja Lurah Dendam’, Netizen Doakan Berubah Perlahan-Lahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker