Mesyuarat pertama MN Johor bincang perkukuh kerjasama Umno-PAS

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Johor hari ini berkisar kepada soal pengukuhan hubungan Umno dan PAS di negeri itu menerusi pelbagai program di peringkat akar umbi.

Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad berkata, soal pengagihan kerusi bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak dibincangkan.

“Hari ini (mesyuarat) adalah supaya kerjasama antara Umno dan PAS diperkukuhkan,” kata menteri besar Johor itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini bersetuju supaya Johor terus mempertahankan kerjasama dan mendukung MN di peringkat negeri ini menerusi pembentukan jawatankuasa pemantau dan jawatankuasa pelaksana.

“Tujuan penubuhan jawatankuasa pemantau dan pelaksana adalah untuk menjalankan program dan melaksanakan beberapa tanggungjawab, termasuk memantau program yang dilaksanakan di bahagian atau kawasan,” katanya.

“Di peringkat negeri ditubuhkan jawatankuasa pemantau, manakala di peringkat bahagian, ditubuhkan jawatankuasa pelaksana,” katanya dengan menambah jawatankuasa pemantau itu masing-masing dianggotai 12 anggota daripada Umno dan 12 daripada PAS. Bernama

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker