Gerak Kerja Pasukan Petugas Ekonomi Digital berpandu empat teras, 15 program

Gerak kerja Pasukan Petugas Ekonomi Digital (DETF) yang dibentuk baru-baru ini akan berpandukan kepada empat teras iaitu, memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan, merangsang ekonomi dan pemboleh daya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan bersama hari ini menyatakan, DETF yang bermesyuarat buat kali pertama pada Jumaat telah dipengerusikan secara bersama oleh menteri kedua-dua kementerian, Datuk Saifuddin Abdullah dan Khairy Jamaluddin.

“Mesyuarat DETF ini, telah membincangkan 15 program berimpak tinggi di bawah empat teras tersebut, dalam mempercepat pendigitalan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia negara digital dan berteknologi tinggi,” menurut kenyataan itu.

KKMM dan MOSTI menyatakan, program di bawah teras memperkasakan rakyat ialah pembangunan bakat ekonomi digital, ekonomi gig, e-pembelajaran (pendidikan digital) dan penerimagunaan pembayaran tanpa tunai.

Menurut kenyataan itu, di bawah teras melonjakkan perniagaan pula, enam program yang dibincangkan ialah penerimagunaan e-dagang, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), platform teknologi, inovasi syarikat pemula, industri kreatif digital dan e-Perolehan kerajaan dalam kalangan PKS.

Menurut KKMM dan MOSTI, teras merangsang ekonomi pula mempunyai dua program iaitu menarik pelaburan dan pendigitalan sektor awam, manakala program di bawah teras pemboleh daya pula ialah infrastruktur digital, keselamatan siber dan perkongsian data.

Kenyataan itu menyebut, mesyuarat turut bersetuju bahawa platform DETF adalah landasan terbaik bagi memastikan penyelarasan antara agensi yang lebih teratur, serta mampu mengelakkan pertindihan aktiviti berkaitan pembangunan ekonomi digital negara.

“Mesyuarat juga menegaskan keutamaan penglibatan industri tempatan, termasuk syarikat awalan dalam pembekalan produk dan perkhidmatan digital kepada sektor awam dan swasta, bagi memperkasakan pembangunan industri digital negara.

“Aspek kepercayaan dan keselamatan siber juga diberi penekanan, untuk menggalakkan penggunaan platform digital dalam transaksi perniagaan dan perkongsian data,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kesemua inisiatif yang dilaksanakan di bawah DETF juga akan memantapkan aspirasi negara ke arah melaksanakan negara berteknologi tinggi (high tech nation) di bawah Revolusi Industri 4.0.

“Penubuhan DETF yang dianggotai 32 ahli terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, wakil industri serta wakil PKS, tepat pada masanya dan memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif ekonomi digital bagi memacu pemulihan ekonomi negara berikutan pandemik COVID-19.

“Ia berpandukan teras utama di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua kementerian itu menyatakan, DETF akan mengadakan mesyuarat secara berkala dan hasil mesyuarat dilaporkan kepada Kabinet, untuk memastikan kejayaan pelaksanaan setiap projek berimpak tinggi dapat dicapai, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Pemerkasaan Ekonomi Digital merupakan antara agenda utama negara. Sehubungan itu, KKMM dan MOSTI melalui DETF, akan bersama-sama menerajui usaha-usaha memulih dan merangsang sektor-sektor ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19 dan ia mampu dipercepatkan melalui pemacuan ekonomi digital, menurut kenyataan itu lagi. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker