Bomba selamatkan lelaki cuba bunuh diri
SEORANG lelaki yang pada mulanya cuba terjun dari papan iklan di tingkat dua kedai di Jalan Mahkota, Kuantan, berubah fikiran apabila anggota bomba tiba, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian itu, kecekapan dan tindakan pantas anggota bomba memastikan lelaki yang hanya berseluar dalam itu berjaya diselamatkan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.08 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Tindakan pantas anggota bomba bersama polis berjaya memujuk lelaki terbabit daripada cubaan membunuh diri ketika berada di atas papan iklan di tingkat dua kedai.
“Lelaki terbabit dibawa turun dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP),” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, lelaki terbabit dipercayai tidak waras dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. HM