5,4,3,2,1…duduk dan jangan mempersoalkan saya

Sebaran :

Arahan ‘sit-down’ hangatkan sesi bahas Dewan Rakyat

Arahan berulang kali ‘Yang Berhormat (YB) ‘sit down’ (duduk) daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said, menghangatkan sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Arahan dikeluarkan Azalina, apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) yang tidak diberi laluan oleh Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ketika itu membahaskan usul berkenaan, terus berdiri untuk mencelah perbahasan dan menggunakan peraturan mesyuarat, untuk mendapatkan laluan.

Rayer bangun apabila Mohd Salim mendakwa Pakatan Harapan mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat, seperti menjual aset-aset negara, dan beliau meminta Mohd Salim menjelaskan mengenai dakwaan itu.

Kekecohan reda seketika namun Rayer bangun semula, selepas Azalina mengarahkan Mohd Salim untuk menyambung perbahasan, dengan memberi kebebasan kepada Mohd Salim sama ada ingin menjawabnya atau tidak.

Mohd Salim meneruskan ucapannya tanpa menjawab dan Rayer kembali mencelah: “Kalau tak berani jawab jangan buat tuduhan”.

Tindakan Rayer itu sekali lagi menguji kesabaran Azalina, sehingga beliau memberi amaran untuk memanggil bentara Parlimen untuk mengiringi Rayer keluar dewan.

“YB, sama ada anda duduk, atau saya akan arahkan bentara untuk minta anda keluar,” katanya tetapi tidak diendahkan Rayer menyebabkan berlaku pertikaman lidah dengan Azalina.

Situasi itu berlarutan kira-kira lima minit sehingga memaksa Azalina melakukan ‘kiraan’ agar Rayer mematuhi arahan untuk duduk dan berhenti mencelah.

“YB, Saya akan mulakan kiraan …5,4,3,2,1, duduk. Duduk dan jangan mempersoalkan saya… kenapa tidak boleh duduk sahaja.. boleh tak duduk,” tegas Azalina.

Rayer terus enggan duduk, malah berulang kali mahukan penjelasan mengapa Azalina seakan memarahi beliau.

“Memanglaa saya marah, kerana saya seorang manusia. Duduk, berikan Jempol bercakap, kerana masa semakin singkat. Saya tidak akan berhentikan masa. Tak pe YB, duduklah,” kata Azalina.

Rayer akhirnya patuh dan duduk.
BERNAMA


Sebaran :

One thought on “5,4,3,2,1…duduk dan jangan mempersoalkan saya

  • ingatkan 54321 kabooom(kasi bom) ke apa rupanya suruh duduk, dengar kata juga seekor lutong ini

    Reply

Leave a Reply