27 etnik Rohingya didakwa ‘lemas’ ditemui bersembunyi di pulau Rebak Besar

Seramai 27 etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas di pulau ini kelmarin sebenarnya dalam keadaan selamat dan sudah memasuki negara ini secara haram.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Mohd Zawawi Abdullah berkata, 13 lelaki, 9 wanita dan 5 kanak-kanak terdiri daripada 4 lelaki dan seorang perempuan dijumpai bersembunyi di pulau Rebak Besar dekat sini, pada pukul 6.15 petang semalam.

Mereka ditemukan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat yang dilaksanakan susulan laporan awal daripada seorang etnik Rohingya yang “terselamat”, kononnya 24 orang penumpang lain dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun dari sebuah bot di s ini pada Sabtu, pukul 8 malam.

Helah itu dipercayai merupakan modus operandi terbaru etnik berkenaan untuk memasuki negara ini secara tidak sah kerana sebelum ini terdapat kes mereka sengaja membocorkan bot serta merosakkan enjinnya berhampiran pulau ini sebelum mendarat di Malaysia.

“(Awalnya) pasukan operasi mencari dan menyelamat gagal menemukan sebarang petunjuk atau mangsa. Pasukan operasi kemudian mendapat aduan daripada seorang nelayan tempatan yang menemukan seorang lelaki etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, seterusnya bot kilat Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan.

“Migran tersebut dibawa pulang ke jeti maritim di Bukit Malut untuk siasatan. Dia kemudian memaklumkan ada 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau itu.

Ekoran itu, bot kilat dan kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset tentera (TLDM) melakukan pencarian sebelum menemukan 26 lagi migran berusia antara 5 hingga 45 tahun,” katanya.

Zawawi berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua migran seramai 28 orang itu termasuk pengadu dibawa ke jeti maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan menjalani saringan awal Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, migran terbabit terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke pulau berkenaan.

“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau tersebut dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara.

“Selain itu, siasatan mendapati migran ditahan itu mempunyai kaitan dengan 2 tekong darat atau ‘dallal’ yang ditangkap dalam operasi melibatkan 5 agensi pada 21 Julai lalu.”

“Berkenaan modus operandi pergerakan migran ini, kita tidak menolak kemungkinan sebuah bot nelayan perlu datang untuk mengambil mereka, tetapi kerana 2 tekong darat itu ditahan menyebabkan mereka kehilangan arah menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang,” katanya.

Zawawi turut melahirkan rasa kesal dengan sikap nelayan tempatan yang disyaki menjadi “pengangkut” membawa masuk migran ke negara ini.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket menggunakan taktik menyeludup migran daripada bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) turut percaya kemasukan kumpulan pendatang tersebut mendapat bantuan penduduk tempatan disyaki menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan migran.

Komander NTF Aris Adi Tan Abdullah mendakwa ia berikutan terdapatnya penduduk setempat di pulau itu yang dikesan memberi kemudahan bot nelayan dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa.
Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker