Putra sasar tanding 40 kerusi Parlimen

IPOH – Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra) menyasarkan sebanyak 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sehingga kini empat negeri dimuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, bagi negeri-negeri lain masih dalam penelitian dan dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Secara umum kita sasarkan minimum 25 kerusi Parlimen, maksimum 40 kerusi Parlimen tapi kita nak teliti betul-betul supaya kita tak mahu bertanding sesuka hati. Semua ini kerusi Parlimen, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) belum ditentukan lagi.

“Tetapi keputusan dasar kita di mana kita bertanding kalau ada kerusi DUN di dalam Parlimen itu kita bertanding, kecuali DUN yang mempunyai pengundi kaum bukan Melayu sampai 70 peratus, kita tak akan bertanding. Kita akan tengok di mana peluang kita boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Parlimen Tambun yang turut dihadiri Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman; Ketua Wirawati Malaysia, Dr Asmah Razali; Penyelaras Putra Kedah, Dato Mohd Mustafa Idrus dan beberapa pimpinan Putra yang lain di Bandar Sunway Ipoh di sini malam tadi.

Sementara itu, Ibrahim berkata, sehingga kini 25 calon sudah dikenal pasti dan kebanyakan mereka tampil menawarkan diri untuk bertanding mewakili Putra.

Katanya, kesemua calon tersebut mempunyai kemampuan kewangan bagi membiayai diri masing-masing untuk bertanding pada PRU15 nanti.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Putra wujud sebagai parti alternatif kepada orang Melayu khususnya dalam usaha membawa suara rakyat.

“Kita mahu menjadi parti yang berperanan untuk semak dan imbang kepada kerajaan. Kita tidak masuk blok mana-mana dan akan menjadi parti penentu dalam membentuk kerajaan nanti.

“Jadi saya menyeru orang Melayu berilah peluang kepada Putra untuk mewakili mereka memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan bumiputera. Kita bukan nak bermusuh atau bersaing dengan mana-mana parti tetapi nak menjadi alternatif kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Ibrahim turut menepis dakwaan bahawa Putra menyertai pilihan raya kerana mahu memecahbelahkan orang Melayu kerana Putra ditubuhkan setelah orang Melayu berpecah-belah selepas PRU14.

Beliau menegaskan bahawa, Putra ditubuh untuk menyatukan orang Melayu dan memartabatkan kesucian Islam.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker