PrkSlim : Mohd Zaidi calon UMNO? · MYKMU.NET

PrkSlim : Mohd Zaidi calon UMNO?

Share

Pemangku Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz disebut-sebut sebagai antara calon yang akan dipilih untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim.

Selain ketokohannya, faktor usia muda juga menjadikan Mohd Zaidi antara individu yang disebut-sebut terbaik untuk ditonjolkan oleh UMNO.

“UMNO bukan sahaja perlu menang tetapi kemenangan besar, UMNO perlu mendapat mandat kukuh daripada pengundi-pengundi,” menurut sumber kepada MalaysiaGazette.

Selepas beberapa PRK, Barisan Nasional menguasai kejayaan, maka UMNO perlu mengekalkan kemenangan demi kemenangan itu dengan meletakkan calon yang boleh diterima rakyat.

Memandangkan 40% pengundi DUN Slim nanti adalah pengundi muda, sudah tentu UMNO perlu meletakkan calon yang betul dan dapat mewakili suara pengundi-pengundi di sana.

“UMNO perlu letak calon yang boleh ‘dijual’, yang akan bekerja keras memenuhi tuntutan rakyat.

“Walaupun UMNO yakin kalau letak sesiapa pun boleh menang, tetapi itu bukan isunya. Isunya calon yang betul, calon yang diyakini oleh pengundi dan akar umbi.

“Kita tidak mahu jual calon yang diterima suam-suam kuku sahaja,” ujarnya kepada MalaysiaGazette.

Kata beliau, Mohd Zaidi dilihat calon terbaik kerana dia juga bukan calang-calang orangnya.

Selain memiliki pengalaman kepimpinan dalam UMNO, Mohd Zaidi juga pernah menonjol dalam Majlis Belia Malaysia dan Angkatan Beliau Islam Malaysia.

Beliau disenangi oleh golongan tua dan muda di peringkat akar umbi,” kata sumber itu yang turut menamakan Siti Zubaidah Rahim, Ketua Puteri UMNO sebagai calon lain untuk DUN berkenaan.

Menurut sumber, nama-nama calon akan diserahkan kepada pucuk pimpinan dan berharap kehendak akar umbi DUN ini menjadi keutamaan UMNO dalam memberi pertimbangan kepada calon PRK DUN Slim ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN) pada 15 Julai lalu.

Khusairi menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Mohd Amran Ibrahim dan Pas, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply