Kenapa perlu ubah keputusan pecat Muhyiddin – Annuar

Tan Sri Annuar Musa hairan mengapa perlembagaan UMNO perlu dipinda dibangkitkan bagi membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai semula parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, buat masa ini Muhyiddin merupakan Presiden bagi sebuah parti dan dalam masa sama menyandang jawatan Perdana Menteri.

Justeru, katanya, buat masa ini isu berkenaan sepetutunya tidak berbangkit.

“Saya tidak tahu kenapa soalan itu berbangkit, Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden bagi sebuah parti dan sedang menjawat jawatan Perdana Menteri.

“Kita bercakap antara dua parti, kita mesti hormat seseorang, beliau adalah presiden sebuah parti yang sah dan berdaftar,” katanya kepada pemberita pada majlis Perasmian Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti berkenaan boleh mengubah semula keputusan memecat Muhyiddin jika beliau berhasrat menyertai UMNO semula.

Membawa semula Muhyiddin ke pangkuan UMNO dimulakan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang berpendirian cara itu akan memudahkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti.

Mengulas lanjut Annuar berkata, pada akhirnya apa juga keputusan parti khususnya melibatkan perlembagaan perlu melalui Majlis Tertinggi UMNO.

“Tidak ada apa yang kekal sesiapa pun yang dipecat kalau memohon masuk semula Majlis Tertinggi ada kuasa untuk menimbangkan, terpulang kepada Majlis Tertinggi.

“Seseorang yang dipecat tidak bermakna dipecat seumur hidup. Kalau pun dipecat seumur hidup sekalipun dalam Perlembagaan parti melalui Majlis Tertinggi masih mempunyai kuasa untuk membuat keputusan,” tambah bekas Setiausaha Agung UMNO itu lagi.

Muhyiddin dipecat pada 24 Jun 2016 dan kemudian berganding bahu dengan bekas perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memegang jawatan Presiden yang menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bagagimanapun, Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari blok PH dan bekerjasama dengan UMNO dan Pas melalui Perikatan Nasional .- MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker