Perlu gencatan politik segera!

KEMELUT politik sengit yang dihadapi negara kini dengan adanya usaha tekun daripada satu pihak untuk kembali berkuasa setelah terlepas kuasa berpunca daripada angkara sendiri, dilihat rakyat sebagai tindakan yang boleh membawa ke kancah gangguan politik dahsyat.

Dengan ini bermaksud negara akan berhadapan dengan pen lagi, sama ada bertukarnya kerajaan kini atau penggantian kepimpinan yang cepat dalam kerajaan baharu. Semua ini akan menyebabkan ketidakstabilan politik genting yang akan menyaksikan dua pihak bersaing malah berseteru untuk mendapat dan mengekalkan kuasa.

Apabila ini berlaku, politik formal iaitu urus tadbir negara untuk membela nasib rakyat tidak dapat diberi perhatian penuh kerana diatasi oleh politik tidak formal iaitu kegiatan pihak-pihak terbabit untuk cuba memperoleh dan terus memegang kuasa dalam kerajaan.

Ketidakstabilan politik ini juga akan mempunyai dampak langsung kepada sektor ekonomi negara yang kini sedang berada dalam keadaan parah antaranya akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19 di kedua-dua peringkat dunia dan domestik. Selain rakyat menghadapi kesempitan hidup yang teruk, ia juga akan mengundang risiko politik kritikal yang memperlihat tiadanya pelaburan baharu dan pengeluaran modal daripada pelaburan sedia ada.



Sebenarnya rakyat adalah jauh lebih cerdik daripada ahli politik dalam memahami baik buruknya kestabilan politik. Sehubungan ini, keuntungan kestabilan politik sudah pasti berupa ganjaran kepada rakyat lebih-lebih lagi negara dalam hal prestasi, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Tuntas sebaliknya akan berlaku apabila peranan kestabilan politik itu tidak terlaksana oleh politik formal akibat politik tidak formal.

Sepatutnya ahli politik yang kini berkerjaya sepenuh masa di dalamnya lebih menyedari untuk diinsafi kesan kestabilan dan ketidakstabilan politik. Namun politik ialah bidang berkenaan kekuasaan. Justeru memohon ahli politik agar tidak mengejar kuasa adalah seperti meminta ahli perniagaan supaya tidak memburu keuntungan.

Walaupun begitu, ada keperluan dalam kalangan ahli politik di negara ini untuk memberi pertimbangan baik antara politik formal dan politik tidak formal. Dalam bidang perniagaan, ada larangan mencatut dan rakyat mahu hal sebegini diamalkan secara kendiri oleh ahli politik yang sesetengah didapati bersifat buas, sebagai haiwan politik yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan
memperoleh kuasa.



Dengan adanya senario sedemikian di negara ini, rakyat yang disuarakan sekumpulan ilmuwan tidak mahu negara terus dilanda gangguan politik jika ada lagi krisis pertukaran kerajaan atau kepimpinan yang kerap dan dalam masa singkat.

Oleh itu, rakyat mahu adanya gencatan politik antara pihak-pihak terbabit. Ini bermakna adanya hentian sementara untuk menamatkan persengketaan politik yang dampaknya amat besar kepada negara pada masa mencabar ini akibat kesan pandemik Covid-19.

Gencatan ini penting untuk membolehkan pihak terbabit memberi tumpuan kepada proses pemulihan dalam peranan masing – masing sebagai kerajaan dan pembangkang atau satu pasukan politik utuh Gencatan politik ini bukan amaran lagi setelah rakyat sudah muak dengan kerenah ahli politik yang asyik berpolitik tidak formal sahaja tetapi perintah daripada rakyat! Oleh itu, ia mesti dipatuhi ahli politik jika mereka mahu terus dihormati!

Kegagalan mematuhinya akan menyaksikan tindas balas rakyat dalam pelbagai cara. Sudah tentu ia tidak akan berupa keganasan politik yang berlaku secara terbuka di beberapa tempat lain. Sebaliknya ia akan berlaku secara tertutup dalam beberapa cara dengan rakyat tidak lagi meyakini sistem politik kita yang diselewengkan ahli politik rakus.



Antaranya yang bukan sahaja boleh membantut tetapi merugikan demokrasi di negara ini ialah bantahan melalui kempen jangan keluar mengundi secara beramai-ramai seperti yang pernah disarankan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sehubungan ini, rakyat sangat-sangat menginginkan perdamaian politik sementara yang bukan sahaja amat penting untuk memulihkan negara dari segi ekonomi yang akan menjamin kelangsungan hidup mereka. Sebenarnya pemulihan ini juga penting untuk kemajuan negara dari segi lain antaranya sains dan teknologi selain budaya.

Natijah rakyat ialah kestabilan politik dalam tempoh berbaki sesi Parlimen ini sesungguhnya adalah persekitaran politik yang lebih menjamin, pertama-tamanya untuk pemulihan ekonomi domestik. Ini baik sekali untuk nafkah hidup rakyat yang terjejas serius oleh krisis kesihatan yang berlaku.

Oleh itu, 222 ahli Parlimen dan 576 ahli Dewan Undangan Negeri harus berjiwa besar dengan mempunyai semangat tinggi yang tidak mementingkan diri sendiri tetapi mengutamakan kemaslahatan kepada negara, untuk berdamai sementara bagi memulihkan negara khususnya dari segi ekonomi.



Perdamaian politik sementara ini bukan pilihan lagi dalam keadaan negara kini. Ia satu kemestian! Dengan ini, rakyat sangat ingin melihat kesemua ahli politik kita tidak berjiwa rendah untuk meneruskan persengketaan yang boleh membawa kemudaratan kepada negara.

PENULIS ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Related Articles

One Comment

  1. harap penulis setuju kalau gencatan politik juga bermaksud PRK Slim tidak perlu parti pembangkang letak calon bertanding

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker