Kuching kini zon merah Covid-19, Hospital Sentosa ditutup

Kuching kini dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes Covid-19 setakat 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Hospital Sentosa di Kuching turut ditutup kepada orang awam, manakala semua kakitangan pusat perubatan itu dikuarantin di dalam hospital berkenaan.

“Empat kes baru kluster Hospital Sentosa. (Seramai) 677 individu telah disaring dan diuji, 657 masih menunggu keputusan dan Kuching, Sarawak menjadi zon merah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan, katanya.

Kes jangkitan baru Covid-19 di dalam negara mencatatkan 23 kes hari ini berbanding 21 semalam.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas di sini esok untuk membincangkan perkembangan terkini pandemik Covid-19 di daerah Kuching, kata pengerusinya Douglas Uggah Embas hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, beliau berkata, daerah berkenaan mencatatkan peningkatan ketara kes positif akhir-akhir ini dengan hari ini sahaja 8 kes positif baru dilaporkan.

“Terdapat 39 kes (baru) positif (terkumpul sejak Ahad lepas) dan dengan 1 lagi kes, kami akan menjadi zon merah daripada kuning.

“Apabila menjadi (zon) merah, ia mencerminkan betapa seriusnya keadaan ini. Ini memerlukan langkah tertentu diambil. Mesyuarat esok diadakan khas untuk menentukan langkah-langkah ini,” katanya.

Beliau berkata, apa sahaja langkah yang dipertimbangkan dan ditentukan akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Kami mahu mereka bertindak supaya dapat menguatkuasakan atau melaksanakannya secepat mungkin,” katanya, sambil menambahkan bahawa larangan perjalanan akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Penasihat jawatankuasa berkenaan, Dr Sim Kui Hian yang merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri dan Dr Stephen Rundi (menteri utiliti Sarawak); pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing dan pasukan pakar perubatannya dijangka menghadiri mesyuarat tersebut. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker