“Saya YB, bukan Encik” – Khalid Samad

Tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menggunakan stereotaip kaum mengundang pertikaian beberapa Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

Ia terjadi setelah Azmin bercakap mengenai insentif yang diberikan oleh kerajaan bagi pembelian kenderaan.

Beliau menggunakan contoh Mak Cik Kiah yang membeli kereta jenis Perodua Myvi manakala Encik Hong pula membeli kereta berjenama Mercedes Benz S560.

Perkara itu telah dianggap stereotaip apabila ia seolah-olah membandingkan taraf antara kaum Melayu dan Cina.



Ahli Parlimen (Shah Alam-PH), Khalid Abdul Samad bingkas dari tempat duduknya dengan mempersoalkan kenyataan Azmin itu sambil berkata: “Ini racial streotyping”.

Azmin kemudiannya dibela Ahli Parlimen (Baling-BN), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang bangun mencelah dengan berkata, ‘Khalid rasis’ dipercayai merujuk kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan itu yang cuba menganggap kenyatan Azmin itu dengan maksud yang lain.

Bagaimanapun Azmin mempertahankan kenyataannya itu meskipun ada dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang yang tidak bersetuju dengan contoh yang digunakan.

Azmin kemudiannya menukar contoh dengan sindiran apabila mengatakan “Saya sebut tadi sebagai satu contoh. Saya boleh tukar, satu lagi contoh sekiranya Encik Khalid guna Mercedes-Benz.



Contoh yang diberikan Azmin itu kemudiannya mengundang rasa geli hati anggota Parlimen lain menyebabkan mereka tertawa.

Khalid dilihat membalas sindiran itu dengan mengatakan Azmin sepatutnya menggunakan istilah “YB” dan bukannya “encik” bagi menunjukkan statusnya sebagai seorang Yang Berhormat.

Pertikaian itu akhirnya diredakan oleh Ahli Parlimen (Serdang-PH), Ong Kian Ming apabila meminta bahawa Azmin tidak sewajarnya menggunakan sesuatu yang berunsur stereotaip kerana ia memberi gambaran yang kurang tepat. – MalaysiaGazette



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker