Lambang BN lebih relevan mewakili Perikatan Nasional

Share

SHAH ALAM – Penggunaan lambang atau logo Barisan Nasional (BN) disifatkan lebih relevan dan sesuai untuk diguna pakai bagi mewakili Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, perkara itu diambil kira berdasarkan dua perkara iaitu menggunakan strategi sama dilakukan Pakatan Harapan (PH), selain logo itu sendiri sudah lama dikenali.

Menurutnya, pada PRU14, PH telah mengambil pendekatan sama dengan menggunakan satu lambang iaitu logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan usaha itu jelas berjaya dan mereka mengekalkan formula sama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu.


“Lambang BN lebih sinonim, dikenali dan menjadi pilihan selamat berbanding guna lambang baharu yang akan ambil masa untuk dijenamakan sekiranya PRU15 diadakan secara mengejut dalam tempoh terdekat.

“Namun, kesepakatan perlu ada dalam PN untuk menggunakan lambang BN terutama melibatkan parti-parti lain seperti Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan parti-parti di Sabah serta Sarawak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa MN akan berbincang mengenai logo yang akan digunakan pada PRU15.


Mengulas lanjut, Mujibu turut berpendapat bahawa Pas berkemungkinan akan sedikit ralat sekiranya lambang itu digunakan kerana ahli parti sebelum ini sudah terbiasa berjuang untuk melawan dacing.

“Secara umumnya, pandangan Najib wajar dipertimbangkan, malah ia juga dilihat lebih sesuai dan mudah berbanding jika mahu membentuk satu lambang atau logo baharu, selain proses pendaftaran MN atau PN yang akan turut mengambil masa,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu bagi menentukan lambang atau logo parti yang akan mewakili MN mahupun PN pada PRU15.


“Masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa lambang BN akan di-gunakan bagi mewakili UMNO, Pas ataupun Bersatu dalam PN pada PRU nanti.

“Ketika ini parti-parti yang mewakili PN masih lagi pada peringkat perbincangan awal terutama dalam menentukan calon yang akan bertanding bagi sesuatu kawasan.

“Bagi saya, bukan sesuatu yang mudah untuk melaksanakan cadangan Najib walaupun logo BN telah lama berada dalam arena politik negara kita,” kata beliau.

Leave a Reply