RUU 355: ‘Pindaan undang-undang perlu selaras Perlembagaan Persekutuan’

Cadangan untuk pembentangan kali kedua Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355, memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom semalam, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Dalam jawapannya, Marzuk yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan berkata setiap cadangan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

RUU itu dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS merangkap Anggota Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, sebagai RUU persendirian. Perbahasan berkenaannya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.

Setakat ini, RUU 355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul sahaja tanpa perbahasan.

RUU itu bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah daripada:

i) Penjara tidak melebihi 3 tahun kepada penjara tidak melebihi 30 tahun.

ii) Denda tidak melebihi RM5,000 kepada Denda tidak melebihi RM100,000.00.

iii) Sebatan tidak melebihi enam kali kepada Sebatan tidak melebihi 100 kali

Memandangkan PAS kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, parti itu berhadapan gesaan supaya meneruskan usul RUU itu.

Pada 28 Jun lalu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dilaporkan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berhubung usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad pula berkata RUU 355 akan menjadi agenda Parlimen apabila tiba masanya. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker