Penjara di China umpama neraka – Etnik Uighur

SEKUMPULAN etnik minoriti Muslim Uighur yang melarikan diri ke Turki menyuarakan kebimbangan terhadap saudara mara mereka yang hilang di China.

Mereka mengimbau semula apa yang berlaku semasa di kem tahanan di republik itu yang dianggap mereka sebagai satu penyeksaan.

Salah seorang daripadanya ialah Gulbahar Jalilova.

Dia ada pengalaman sendiri menghabiskan lebih setahun di sel bawah tanah yang sesak selepas dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas.



Jalilova mendedahkan dia disuntik dengan bahan yang tidak diketahui dari semasa ke semasa dan dirantai selama 17 jam sehari.

“Di kem ada rantai seperti ini. Sebelah hujung mengikat tangan kita, dan hujung yang lain mengikat pergelangan kaki dan kami duduk seperti ini.

“Terdapat lubang kecil di pintu. Kami disuruh meletakkan tangan kami melalui lubang itu dan mendapat suntikan setiap 10 hari dan kami tidak boleh bertanya apa yang disuntik,” kata Gulbahar.

Beijing dituduh melakukan pelbagai bentuk kekejaman terhadap etnik Uighur yang majoritinya menghuni di wilayah Xinjiang.



Antara bentuk penganiayaan itu termasuk menahan mereka secara beramai-ramai, menjadikan mereka buruh paksa, memandulkan lelaki, dan memaksa wanita merancang kelahiran.

Beijing menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu sebaliknya menyifatkan ia sebagai tidak berasas sama sekali.

Namun, beberapa pelarian Uighur di Istanbul mendakwa tindakan Beijing ke atas etnik itu adalah satu bentuk kejahatan untuk menghapuskan mereka.

“Mereka ingin menghapuskan semua orang Uighur.



“Jadi ini adalah kejahatan terhadap kemanusiaan, kejahatan terhadap orang Uighur,” kata pelarian Uighur, Azimet Muhammad.

Kata seorang lagi etnik Uighur, Jevlan Shirmemmet: “Ibu saya, keluarga mereka, saudara kami sekarang berada di neraka, bukan di penjara.

“Mereka dipenjara bukan seperti penjara negara Britain, tidak seperti Turki. Itu adalah neraka.”

Menurut Hatice Osman pula, dia hanya dapat melihat anaknya dalam mimpi.



“Saya tidak dapat tidur malam. Saya tidak dapat berfikir dengan betul.

“Saya cuba menenangkan diri dengan anak-anak saya. Tetapi saya tidak tahan.

“Saya hanya melihat mereka dalam mimpi saya dan saya sangat sedih.”

Pada masa ini, terdapat 50,000 etnik Uighur berlindung sebagai pelarian di Istanbul, Turki.



Negara itu menjadi hos terbesar kepada kumpulan pelarian, bukan sahaja Uighur, tetapi juga pelarian Syria akibat perang berpanjangan di negara itu.

“Tidak ada yang boleh menganggap kami lemah,” kata Omer Kazim, pelarian Uighur di Istanbul.

“Bila kami membiarkan kebencian dalaman kami keluar, kami akan membalas dendam bagi saudara kami di Turkistan Timur.

“Kami tidak akan pernah melupakan apa yang telah terjadi.” Awani



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker