Malaysia mungkin catat defisit lebih tinggi jika PKP dikuatkuasakan semula

Share

Malaysia mungkin catat defisit lebih tinggi jika PKP dikuatkuasakan semula – Ahli Akademik

Malaysia mungkin mencatatkan defisit lebih tinggi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekali lagi, kata penganalisis ekonomi.

Felow Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma berkata situasi itu juga dijangka memberi tekanan kepada kerajaan untuk meminjam lebih banyak wang bagi membiayai dan merangsangkan ekonomi.

“Apabila PKP dikuatkuasakan sekali lagi, banyak perusahaan kecil dan sederhana akan menutup perniagaan mereka, dan kita akan menyaksikan kadar pengangguran meningkat lagi selain kadar kemiskinan dan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, menyebabkan ketidaksamaan akan terus melebar di negara ini.

“Justeru, kita tidak sanggup mengalami gelombang kedua COVID-19 memandangkan ia bukan hanya akan mengakibatkan negara kehilangan berbilion ringgit sehari malah mendorong ekonomi ini kepada kemelesetan seterusnya menimbulkan kesan domino, selain rakyat berdepan risiko hilang pekerjaan serta pemotongan gaji,” katanya kepada Bernama.

Kementerian Kewangan telah menjelaskan defisit belanjawan negara tahun ini diunjurkan meningkat kepada 5.8 hingga 6.0 peratus.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 menjangkakan defisit 3.4 peratus.

Menurut data 2020 Jabatan Perangkaaan (DOSM), kadar kemiskinan tegar susut daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019 namun kemiskinan relatif meningkat daripada 15.9 peratus (2016) kepada 16.9 peratus (2019).

DOSM juga mendapati kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 daripada 5.0 peratus pada April 2020, dengan jumlah individu menganggur melonjak 47,300 orang kepada 826,100.

Bagaimanapun perubahan bulanan bagi data individu tidak bekerja pada Mei 2020 adalah lebih rendah daripada perubahan yang direkodkan bagi tempoh Mac hingga April iaitu pada 168,300 individu.

Berma juga menyuarakan kebimbangan mengenai data yang menunjukkan 42.5 peratus syarikat memerlukan tempoh lebih enam bulan untuk pulih.

Oleh itu, beliau berkata pelaksanaan PKP sekali lagi mungkin mewujudkan miskin baharu, iaitu kalangan miskin yang mudah terjejas, golongan miskin daripada kumpulan yang bekerja, miskin daripada kalangan yang bekerja sendiri termasuk pengusaha perusahaan mikro.

“Tambahan pula, moratorium pinjaman yang berakhir September ini akan menambah beban dan cabaran syarikat memandangkan mereka mungkin kekurangan mudah tunai, mendorong mereka untuk meminjam lebih banyak atau memerlukan pakej rangsangan lain untuk kekal beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Russayani Ismail berpandangan jika PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan memberi impak negatif ke atas kesejahteraan dan kesihatan mental masyarakat seperti yang ditunjukkan oleh pelbagai kajian.

Beliau berkata kesan buruk adalah seperti kemurungan dan perasaan kehilangan akibat terkurung di dalam rumah.

“Justeru, penting untuk semua orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan semua langkah pencegahan,” katanya.

DOSM menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa pada 10 Jun, akan mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan menggalakkan pengambilan pekerja memandangkan sektor perniagaan kini dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP.

Sehubungan itu, sektor yang paling terjejas teruk, pelancongan, dijangka pulih dengan lebih cepat.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemulihan itu akan didorong oleh tahap pematuhan yang tinggi terhadap SOP yang telah ditetapkan.

Beliau berkata purata kadar penginapan di hotel seluruh negara, disokong oleh pelancongan domestik, berada pada 21 hingga 30 peratus.

Sektor pelancongan negara juga diunjurkan mengalami kerugian bernilai RM45 bilion tahun ini berikutan penutupan sempadan, katanya.

Pada Februari 2020, kerajaan memperkenalkan rangsangan ekonomi bernilai RM295 bilion, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan RM35 bilion untuk melonjakkan semula aktiviti ekonomi dan usaha pemulihan. BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!