Mahathir, 4 ahli Parlimen fail saman cabar pelantikan speaker, timbalan speaker Dewan Rakyat

Sebaran :

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad bersama 4 ahli Parlimen lain bertindak mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Saman pemula yang difailkan menyebut pelantikan Azhar Azizan Harun dan Azalina Othman Said sebagai speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai adalah tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan atau peraturan mesyuarat dewan.

“Selepas pengosongan jawatan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat, ahli Dewan Rakyat mesti diberi peluang untuk mencalonkan pilihan masing-masing bagi jawatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Empat ahli Parlimen lain yang terlibat dalam saman pemula itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Antara pihak yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Azhar, Azalina dan timbalan speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon serta setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

“Kami ingin mengambil peluang untuk menerangkan bahawa ada pendapat yang menyatakan kerajaan terdahulu juga sudah mengosongkan kerusi Speaker dan apabila lantikan baru dibuat ia tidak memberi notis 14 hari,” katanya.

Menurutnya, tempoh jawatan speaker adalah pada tempoh penggal atau hayat Parlimen dan semasa kerajaan dahulu mengambil alih kuasa, jawatan speaker adalah kosong secara automatik apabila Parlimen ke-13 dibubarkan.

“Berbeza dengan pengosongan kerusi speaker pada kali ini di mana tempoh Parlimen masih wujud dan belum dibubar,” katanya.

Menurut firma guaman Rafique yang mewakili 5 ahli Parlimen itu, pihaknya diarahkan untuk menegaskan bahawa plaintif berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

“(Kami) tidak akan teragak-agak untuk bersuara apabila timbul mana-mana percubaan campur tangan salah oleh pihak eksekutif, iaitu perdana menteri terhadap legislatur iaitu Dewan Rakyat,” katanya. FMT


Sebaran :

Leave a Reply