Kerajaan Persekutuan perlu cermat dalam isu kalimah Allah – Sultan Johor

Kerajaan Persekutuan perlu cermat dalam isu kalimah Allah – Sultan Johor

Kerajaan Persekutuan perlu memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan keputusan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah Allah, titah Sultan Ibrahim Iskandar.

Sultan Johor bertitah, langkah terbabit perlu berikutan ia berkait rapat dengan isu yang berada sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.



Titah baginda, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan mengenai kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri, supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk terus terpelihara.

“Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

“Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.

“Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam seni kata Lagu Bangsa Johor,” titah baginda menerusi kenyataan media yang dimuat naik dalam Facebook rasmi hari ini.



Sejak minggu lalu, pelbagai pihak dilaporkan terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menjelaskan, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri lain.



Beliau dilaporkan mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi raja, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam jawapan di Parlimen semalam, Anwar menafikan dakwaan kerajaan tidak berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kemudian memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dan kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak.

“Jadi, tidak timbul sama sekali soal tidak dirujuk dan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 7 Februari adalah memperaku.



“Ini diminit dalam Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri memperaku keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu nama Allah tidak boleh digunakan walaupun ada pandangan-pandangan peribadi yang lain,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat. BH

Kerajaan Persekutuan perlu cermat dalam isu kalimah Allah – Sultan Johor

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sampai hari ini saya tak makan ‘pisang’ – Tiz Zaqyah

Razman tidak pernah serik



3 siri nombor pendaftaran WP Putrajaya, FF9, FF99 dan FF999 dibeli individu yang sama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker