13 lelaki, 4 wanita ditahan berpesta liar di Kubang Kerian

Share

17 individu ditahan di sebuah rumah banglo di Kubang Kerian, di sini awal pagi tadi selepas didapati berpesta sambil ‘menjamu’ dadah.

Dalam serbuan sekitar jam 3 pagi tadi, 17 yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan empat wanita berusia 18 hingga 35 tahun.

Kesemuanya didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, SAC Abdullah Mohamad Piah berkata, 600 biji pil ectasy bernilai RM18,000 turut dirampas.

“Mereka sedang berhibur dengan menikmati muzik kuat dan 17 orang termasuk 4 wanita juga positif meth.

“Dari serbuan itu polis menjumpai satu bungkusan yang mengandungi pil ectasy kita percaya mereka ambil pil itu untuk berhibur,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan petang tadi.


Abdullah turut menjelaskan pil ectasy berkenaan dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur.

Rumah banglo yang dijadikan tempat berpesta dadah itu dikatakan disewa dengan kadar RM350 sehari.

Kesemua yang ditahan kini direman selama 7 hari bermula hari ini.


Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya juga berjaya menahan seorang pemuda berusia 23 tahun dan merampas lebih 1,980 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM20,000.

Pemuda berkenaan ditahan ketika berada di tepi jalan di Kampung Kebakat, Wakaf Baru pada 22 Julai lepas.

Kes disiasat mengikut seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Awani

Leave a Reply