Ugut bunuh isteri kerana dikejutkan tidur

POLIS Miri sedang memburu lelaki yang mengugut mahu membunuh isterinya kerana berang dikejutkan daripada tidur.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa, semalam.

Katanya, berdasarkan laporan wanita terbabit, kejadian berlaku di kuarters sebuah estet di Niah pada 6.45 pagi.

Menurutnya, suspek yang berusia 25 tahun dikatakan bertindak agresif selepas dikejutkan daripada tidur untuk menggantikan silinder gas yang kehabisan.

“Suspek menyerang mangsa yang ketika itu sedang menggendong bayi mereka berusia sebulan.

“Selain itu, mangsa juga mendakwa suspek mengancamnya dengan menggunakan sebilah parang dan senapang patah sebelum keluar meninggalkan rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lim berkata, mangsa yang bimbangkan keselamatan diri dan anaknya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, suspek sehingga kini gagal dikesan dipercayai sudah melarikan diri.

Menurutnya, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui dua senjata api buatan sendiri dan peluru.

“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker