Selepas BN dan PH, kini Mahathir ‘kacau’ Warisan

Kenyataan Warisan mengenai kemungkinan membolehkan Dr Mahathir Mohamad menyertai parti itu mengundang amaran daripada seorang ahli akademik tentang kesukaran yang akan dihadapi parti itu dalam berdepan para penyokong.

Pemimpin Warisan akan perlu menjelaskan banyak perkara, kata Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak.

“Mereka perlu jelaskan fokus parti, hala tujunya, dan wawasannya kerana Mahathir tidak dikenali sebagai seorang yang menyokong autonomi untuk Sabah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Warisan, Liew Vui Keong baru-baru ini yang menjawab laporan tentang spekulasi mengatakan bekas perdana menteri itu mungkin menyertai parti itu.



Liew berkata pemimpin Warisan akan perlu pertimbangkan pindaan pada perlembagaan parti bagi menjadikan ia parti nasional untuk membolehkan penyertaan Mahathir.

Puyok tidak yakin Warisan akan ada kuasa tarikan di luar Sabah.

Beliau tertanya adakah Warisan kini sedia mengendurkan fahaman hak Sabahnya dan slogan berkaitan, mengatakan ia memainkan peranan dalam kejayaan pada pilihan raya umum 2018.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan percaya Liew tidak memikirkan perkara itu semasak-masaknya sebelum membuat kenyataan itu.



Katanya, penyertaan Mahathir bermakna bekas perdana menteri itu perlu menurut perintah Presiden Shafie Apdal.

“Saya tak fikir Mahathir sedia merendahkan dirinya kecuali beliau lebih terdesak daripada Shafie,” tambahnya.

Beliau juga berkata kesediaan Warisan menerima Mahathir agak ironik memandangkan parti itu berulang kali berikrar akan menuntut semula hak ngeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 dan bekas perdana menteri itu didakwa menafikan hak-hak itu.

“Sekiranya Mahathir sertai parti itu dan menjadi pengerusinya, ia memberi gambaran Shafie dan partinya bawah perintah Tanah Melayu,” tambahnya.



Bekas perdana menteri itu juga dituduh mendalangi Projek IC di Sabah, iaitu dakwaan pemberian kewarganegaraan kepada pendatang secara sistematik.

“Projek IC 2.0 masih boleh berlaku,” kata Kitingan. “Sekiranya ia berlaku, kita akan terpaksa melupakan saja Perjanjian Malaysia dan hak negeri.”

Seorang pemimpin kanan Warisan beritahu FMT tidak semua dalam parti itu ingin Mahathir menjadi ahli parti.

Bagaimanapun, keputusan terserah kepada Shafie dan setiausaha parti, katanya.



Beberapa pengulas politik berkata Warisan sepatutnya tumpu kepada kecekapan kerajaan negeri dan bukan terlalu fokus kepada politik.

Cadangan tentang keahlian Mahathir itu dilihat sebagai cubaan Warisan memastikan ia dapat bertahan di sebalik peletakan keahlian ahli akar umbi dan beberapa ahlinya dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kerajaan negeri sering dikritik kreana tidak menunjukkan keazaman secukupnya untuk memulakan projek yang akan memanfaatkan ekonomi Sabah.

Ahli majlis tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mengkritik Shafie susulan dakwaan tiada tindakan susulan kepada pengumuman sebelum ini. FMT



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker