Sarawak rekod sembilan kes positif baru COVID-19

Sarawak merekodkan sembilan lagi kes positif COVID-19 hari ini dengan kesemuanya dilaporkan di daerah Kuching, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini, 628.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini berkata terdapat dua kes import iaitu melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Korea Selatan.

Menurut JPBNS, kes balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Korea Selatan pada 9 Julai 2020 dan transit di Kuala Lumpur selama semalam.

“Kes balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 10 Julai 2020. Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala.

“Setibanya kes di LTAK beliau telah dimasukkan di hotel untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. Kes telah disaring pada 9 Julai 2020 di KLIA dengan menggunakan RTK Antigen dan didapati negatif.

“Bagaimanapun semasa berada di pusat kuarantin di Kuching, kes telah disaring pada hari kedua iaitu pada 11 Julai 2020 dan didapati negatif. Kes disaring ( rT PCR) buat kali keduanya pada hari ke-10, iaitu pada 20 Julai 2020 dan didapati positif COVID-19 pada 22 Julai 2020,” jelas JPBNS.

JPBNS berkata kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak serta siasatan lanjut masih dilakukan.

Manakala kes import kedua melibatkan wanita warganegara tempatan, yang belajar di Kursk Medical University, Rusia.

Kes dikatakan kembali ke Sarawak dari Rusia melalui London, United Kingdom ke KLIA pada 6 Julai 2020. Kes balik di Sarawak melalui LTAK dan dimasukkan ke pusat kuarantin.

“Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala. Pada 6 Julai 2020, kes telah disaring menggunakan RTK Antigen di KLIA dan didapati negatif. Pada 7 Julai 2020 iaitu pada hari kedua kes disaring semula tetapi keputusan negatif.

“Kes telah disaring (rT PCR) semula pada hari-10 pada 18 Julai 2020 dan didapati positif COVID-19,” kata JPBNS.

Sementara itu, terdapat empat kes baru melibatkan pengesanan kontak dari kluster aktif dikesan iaitu satu merupakan warganegara tempatan yang merupakan ahli keluarga kepada kes ke-602 iaitu kes indeks Kluster Sentosa.

Menurut JPBNS, kes disaring (rT PCR) pada 20 Julai 2020 dan didapati positif COVID-19 pada 21 Julai 2020. Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Tiga kes lagi merupakan kes saringan kontak yang melibatkan Kluster Pasar Stutong. Mereka menjalani saringan pada 20 Julai 2020 dan didapati ujian saringan ujian rT-PCR COVID positif pada 22 Julai 2020…Kesemua mereka adalah wargenegara tempatan,” ujar JPBNS.

Sementara itu, satu kes dikesan melalui ujian saringan rawak ke atas guru yang balik dari bercuti melibatkan seorag lelaki.

Kes menaiki pesawat dari Kota Bahru, Kelantan ke LTAK pada 4 Julai 2020. Ujian saringan kes pada 21 Julai 2020 di Klinik Kesihatan Kerajaan didapati positif COVID-19. Kes juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Satu kagi kes positif merupakan warganegara tempatan dikesan melalui pengesanan kontak rapat yang menaiki pesawat sama dari KLIA ke LTAK pada 15 Julai 2020.

“Ujian saringan rT-PCR yang telah dijalankan pada 18 Julai 2020 didapati positif COVID-19. Kes ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” jelasnya.

Kes kesembilan hari ini, pula merupakan kontak rapat kepada kes yang telah dikenal pasti iaitu abang kepada kes ke-574 (kes Severe Acute Respiratory Infection-SARI) yang didapati positif COVID-19 pada 5 Julai 2020.

Beliau juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. UB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker