Lim keluar SPRM lepas 6 jam beri keterangan

Setelah lebih enam jam disoal siasat, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dilihat meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 7.13 petang.

Beliau yang mengenakan sut hitam, kemeja biru dan berpelitup muka bagaimanapun tidak mahu memberikan sebarang komen kepada petugas media yang menunggu sejak tengah hari tadi.

Sebaik keluar, Lim hanya mengangkat tangan kepada media sebelum masuk ke kereta Vellfire putih yang menunggu di depan pintu depan bangunan SPRM.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang turut mengiringinya mengesahkan bahawa Lim memberi keterangan sebagai saksi berhubung siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.



“Ya. Berkenaan dengan terowong dasar laut,” katanya.

Bercakap kepada media, Rayer berkata, Lim sebenarnya tidak sihat hari ini dan telah pun mendapat cuti sakit untuk hari ini dan esok.

“Namun memandangkan kami telah terima notis untuk hadir pemeriksaan, kami telah bekerjasama.

“Belum selesai lagi. Kami diminta hadir kembali hari Sabtu. Lebih kurang 10 pagi,” katanya sebelum turut masuk ke dalam kereta yang sama dan meninggalkan bangunan SPRM.



Ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan Lim hadir sebagai saksi kes berkenaan.

Pada 30 Jun lalu SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan terhadap elemen rasuah dalam projek terowong itu selain memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan.

Julai lalu, SPRM berkata kertas siasatan bagi kes bernilai RM6.3 bilion itu sudah berada di peringkat akhir dan hanya memerlukan dua atau tiga minggu lalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

SPRM telah menyoal siasat beberapa pegawai kerajaan negeri, termasuk ketua menteri Chow Kon Yeow dan exco-exconya.



Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew pada 1 Julai lalu direman empat hari bagi membantu siasatan itu.

Ketika projek itu dirancang pada 2011 dan 2012, Lim bertugas sebagai ketua menteri dan Chew pula menjadi pegawai khasnya.

Tahun lalu dilaporkan enam kertas siasatan dibuka dalam kes itu – satu pada Julai 2017 dan selebihnya lima pada Januari 2018.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker