LHDN ‘dibenar’ tuntut tunggakan cukai dari Najib



LHDN dibenar tuntut tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada Najib tanpa perbicaraan penuh

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan penghakiman ringkas untuk mendapatkan kembali tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Hakim Ahmad Bache berkata, di bawah Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tiada kuasa melayan sebarang rayuan daripada individu, yang mahu mempertikaikan penilaian pegawai cukai pendapatan terhadap mereka.

“Selepas LHDN menyerahkan notis penilaian kepada defendan (Najib), mahkamah tiada kuasa untuk melayan rayuan mengenai jumlah yang kerajaan mahu dapatkan kembali atas alasan ia keterlaluan atau dinilai secara salah.

“Beliau mempertahankan jumlah yang diterimanya ialah dalam bentuk sumbang dan sumbangan itu tidak boleh dikenakan cukai di bawah undang-undang.




“Bagaimanapun, fakta ini perlu didengar Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan. Mahkamah bukan tempat sesuai menentukannya,” katanya sambil menambah Najib turut memfailkan rayuan terhadap notis penilaian LHDN kepada tribunal itu.

Penghakiman ringkas ialah prosiding di mana mahkamah menentukan sesuatu kes, melalui penghujahan bertulis, tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

LHDN memfailkan saman terhadap Najib tahun lalu untuk menuntut tunggakan cukai pendapatan lebih RM1.69 bilion. FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published.