‘Kami padam lukisan supaya pemimpin tak dimalukan’

“Mereka boleh conteng lukisan kami, tapi mereka tak boleh patahkan semangat kami.”

Jika diberi peluang, Muhamad Firdaus Nordin, 26, bersama dua rakannya, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Abdul Hadi Ramli, 27, mahu melukis semula mural potret pemimpin negara yang sebelum ini dicemari laku musnah atau vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.

Muhammad Firdaus berkata, kata-kata kesat yang diconteng di mural gergasi memaparkan wajah pemimpin dan ikon negara di kawasan komersial Taman Cahaya Alam U12 di sini itu, bukan sesuatu yang boleh dipadam begitu sahaja.

Katanya, langkah menutup keseluruhan mural gergasi itu dibuat selepas perbincangan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) demi kebaikan semua pihak.

“Biasanya kalau diconteng, kita boleh baiki sebab tiada risiko untuk memalukan pemimpin dan ikon besar yang dilukis itu.

“Namun bila diconteng dengan kata-kata kesat, kami ambil keputusan eloklah dipadam terus daripada diperbaiki atau ‘touch up’ kerana tindakan menconteng mungkin boleh berulang dan memalukan juga.

“Kami boleh baiki dan cat balik kalau MBSA pasang lampu dan letak banyak kamera litar tertutup (CCTV) sebab kawasan itu memang gelap bila malam, CCTV yang ada pun milik kedai di situ.

“Sebelum dicat putih sepenuhnya, kami berbincang dulu. Kalau ikutkan, kami mahu ‘touch up’ sebab berasa sayang dah lukis, tetapi memikirkan kawasan itu berisiko untuk kejadian berulang, kami setuju cat semua sekali,” katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Beliau berkata, mereka sedia melukis semula mural potret pemimpin berkenan jika diberi kebenaran oleh MBSA berbuat demikian, asalkan kawasan itu berlampu dan dilengkapi CCTV.

Muhamad Firdaus adalah pelukis pertama tiba di lokasi pagi semalam sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tu dan amat terkilan melihat karya mereka dirosakkan dengan contengan kata-kata kesat.

“Tuhan sahaja yang tahu betapa kecewanya saya. Saya terkilan betul bila tengok sendiri, sedih. Mula-mula saya tutup dengan kertas, kemudian saya teringat ada kanvas biru dalam kereta.

“Saya tutup sendiri lukisan itu dengan kanvas sebab tak nak orang ambil gambar lagi walaupun ketika itu dah viral. Saya tutup sebab rasa malu karya kami diconteng dengan kata-kata kesat,” katanya.

Beliau berkata, mereka mula menghasilkan mural Februari lalu, membabitkan dua pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, dan Allahyarham Yussry Edoo atau Pak Yus Jambu, 39.

Muhamad Firdaus dan dua rakannya melukis mural sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan tiga ikon iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Selepas itu kami berhenti sebab PKP. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, kami rancang sambung balik lukisan dan isu COVID-19 mencetuskan idea.

“Kami berbincang dan menambah ikon penting yang terbabit menangani COVID-19 dan Alhamdulillah, ia siap sepenuhnya penghujung Jun.

“Namun begini pula jadinya. Tidak mengapalah, kami akan terus berkarya,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker