Segerakan Pengiktirafan Ijazah Undang-Undang USIM – Tok Mat

Saya dimaklumkan bahawa Universiti Sains Islam Malaysia, masih belum mendapat pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia. Tanpa kelayakan penuh ini, graduan Undang-Undang USIM tidak boleh diterima masuk sebagai peguamcara dan peguambela serta beramal dalam bidang undang-undang di Mahkamah Malaysia.

Proses penawaran program akedemik di IPTA dikawalselia dengan ketat oleh Senat Universiti, Lembaga Pengarah Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia. Program seperti undang-undang, sebelum dilaksanakan haruslah melalui pelbagai proses kawalselia termasuk penubuhan ‘Board of Studies’ yang dianggotai oleh pakar dalam pelbagai bidang kepakaran khusus.

Oleh yang demikian, saya sangat musykil dengan kesukaran yang dihadapi USIM dalam mendapatkan kelayakan penuh daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia yang dipengerusikan oleh Peguam Negara. Apatah lagi setelah pelbagai maklumbalas dan pematuhan oleh USIM terhadap pelbagai saranan, syarat dan kriteria tambahan yang dikenakan oleh LKPU.

Keadaan ini menyukarkan graduan untuk merancang masa depan mereka terutama sekali bagi mereka yang berhasrat untuk beramal dalam bidang undang-undang. Jika semua ini adalah karenah birokrasi, maka segala kesulitan dan kelewatan akibat proses ini adalah penganiayaan terhadap anak-anak bangsa kita dan makanya harus diselesaikan segera.



Namun sebaliknya, jika isu ini bukan disebabkan kelewatan birokrasi, pasti akan timbul tanggapan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang seolah-olah mempunyai suatu agenda tersembunyi.

Saya mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap kumpulan pengamal undang-undang Malaysia dan ramai daripada mereka yang terkemuka dalam bidang undang-undang juga merupakan rakan-rakan saya. Mereka sangat mengutamakan integriti dan kualiti yang ‘impeccable’ standardnya. Justeru, demi menjaga nama baik dan reputasi unggul Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, saya menyeru penyelesian segera dibuat mengenai isu ini.

Saya pernah menjadi Menteri Mentor kepada USIM semasa saya memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Setiap perkembangan universiti tersebut telah saya ikuti dengan teliti dan segala masalahnya adalah dalam keprihatinan kami juga.

Yang pasti, kita tidak boleh memperjudikan masa depan putera-puteri terbaik bangsa dengan berlengah dalam ketetapan berkaitan kelayakan mereka. Menangguhkan keputusan tersebut adalah seperti menangguhkan masa depan mereka dan ia sangat merugikan. Semoga Peguam Negara dapat memberikan pencerahan segera terhadap masalah ini dan membuat keputusan yang menguntungkan negara, Insha Allah.



Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker