Brader kopitiam ‘bergelang pink’ buat hal pula…

BARU semalam tular gambar wanita makan di sebuah medan selera sambil memakai gelang pengesanan kuarantin Covid-19 tersebar di media sosial, hari ini kecoh pula seorang lelaki yang turut di bawah kuarantin Covid-19 makan di sebuah premis di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Difahamkan, polis sedang mengesan lelaki memakai gelang tangan berwarna merah jambu yang di bawah kuarantin Covid-19 itu ketika ini.

Sumber berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

“Polis akan menyemak gambar yang tular di media sosial berkenaan.

“Polis juga ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya menyalurkan terus maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar lelaki memakai gelang tangan berwarna merah jambu berada di sebuah kopitiam di Desa Sri Hartamas.

Individu berkenaan kemudian bertindak keluar dari tempat berkenaan kerana menyifatkan orang tidak bertanggungjawab sebegini degil dan tidak boleh ditegur.

Gambar berkenaan kemudian tular di media sosial dan menggesa tindakan berat dikenakan kepada pelaku ini dengan segera.

Netizen juga tidak mahu kes semakin meningkat dari hari ke hari. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker